EKONOMI

Bioeconomy Corporation, Fakulti Farmasi UiTM meterai LOI bangun program kemahiran dalam bioteknologi

29/07/2020 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 Julai -- Syarikat berasaskan bio dan bioteknologi, Malaysian Bioeconomy Development Corporation Sdn Bhd (Bioeconomy Corporation) menandatangani surat niat (LOI) bersama Fakulti Farmasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk memajukan program kerjaya dan kemahiran dalam bidang bioteknologi serta sektor pertanian dan industri makanan yang berasaskan bio.

Bioeconomy Corporation dalam satu kenyataan hari ini berkata, menerusi LOI ini kedua-dua pihak akan mengendalikan program latihan akademik dan profesional serta promosi untuk program kerajaan dalam bidang yang berkaitan, berkomunikasi dan bekerjasama dalam pengkomersilan penyelidikan saintifik serta bekerjasama dalam program kebolehpasaran siswazah.

Antara program kerjaya dan kemahiran yang dijalankan oleh Bioeconomy Corporation termasuklah inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) apabila syarikat tersebut dilantik sebagai agensi pelaksana oleh Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Selain itu, ia juga turut mengendalikan program Pensijilan Pencapaian Terdahulu (PPT) iaitu Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) (PPT-SKM) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Kementerian Sumber Manusia.

“Melalui program JPK dan PENJANA, Fakulti Farmasi UiTM akan bekerjasama dengan Bioeconomy Corporation untuk menggalakkan graduan dan alumni mengambil bahagian dalam program JPK dan PENJANA, membantu mempromosikan program JPK dan PENJANA ke rangkaian yang berkaitan serta menjalankan beberapa latihan teknikal yang diperlukan sebelum calon JPK dan PENJANA mengikuti latihan penempatan dengan pemain industri” kata Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak dalam kenyataan itu.

Beliau berkata kerjasama tersebut dapat meningkatkan dan menjenamakan semula kemahiran tenaga kerja di Malaysia khususnya dalam sektor berasaskan bio dan bioteknologi yahg mana seterusnya dapat meningkatkan tahap pendapatan, taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. .

“Ini seterusnya dapat membantu kerajaan untuk membaik pulih ekonomi dan mengurangkan kadar pengangguran negara iaitu 5.3 peratus pada Mei 2020,” kata Mohd Khairul.

Pada 11 Ogos depan Bioeconomy Corporation dan Fakulti Farmasi UiTM akan menjalankan sesi taklimat PPT-SKM di  Shah Alam untuk mempromosikan program tersebut kepada kakitangan profesional, teknikal dan sokongan Fakulti Farmasi UiTM.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan