AM

MBJB jalin kerjasama dengan PDRM, JPJ tangani isu kenderaan terbiar

27/07/2020 10:06 PM

JOHOR BAHRU, 27 Julai -- Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) hari ini menjalin kerjasama strategik bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menangani isu kenderaan terbiar di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Adib Azhari Daud berkata kerjasama itu dicapai menerusi perkongsian pintar sistem aplikasi My Vehicle Impound System (VIS) dan kempen ‘Jom Serah Kenderaan Terbiar dan Lanjut Usia’.

Beliau berkata menerusi aplikasi My VIS yang dibangunkan sendiri oleh pihaknya itu, ia dapat memudahkan pihak polis membuat semakan dan pengesahan maklumat kenderaan yang telah ditunda oleh MBJB.

Kempen ‘Jom Serah Kenderaan Terbiar dan Lanjut Usia’ itu pula dapat melancarkan proses pelupusan kenderaan yang telah dilucut hak selepas pemilik membuat rujukan dengan JPJ, katanya.

Adib Azhari berkata kerjasama itu bukan sahaja dapat menangani isu kenderaan terbiar malah sekali gus mampu mengelakkan kenderaan terbabit menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan sasaran penyeludupan dadah serta barangan tidak bercukai.

“Setakat ini sahaja, di depoh kita (MBJB) terdapat 2,483 kenderaan terbiar dan tidak dituntut bagi tempoh awal tahun sehingga kini.

“Ia bukanlah isu untuk kita lelong, tetapi kita kena lihat perkara ini (kenderaan terbiar) akan beri masalah kepada penduduk setempat. Oleh itu, kita kena bertindak cepat,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bersama PDRM dan JPJ, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC Razimi Ahmad dan Timbalan Pengarah JPJ Johor Azmil Zainal Adnan.

Adib Azhari berkata terdapat dua depoh penyimpanan kenderaan MBJB di Mount Austin, di sini, yang mampu menampung kira-kira 4,000 kenderaan secara keseluruhannya.

“Kalau lama kita simpan kenderaan yang ada ini, kenderaan yang terbiar di luar kita tidak boleh tarik, sebab itu kita perlu kurangkan penyimpanan dan buat tindakan progresif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan