AM

UJIAN SARINGAN COVID-19 GALAK RAKYAT MELANCONG

23/07/2020 09:11 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai -- Pemain industri pelancongan perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 selain menjamin keselamatan dan kesihatan pelancong.

Susulan itu, Majlis Pelancongan Malaysia menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat, TRI G Technologies Sdn Bhd bagi mempromosi ujian saringan COVID-19 melibatkan pelancong dan pemain industri pelancongan tempatan.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Tourism Malaysia Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata kaedah itu akan meningkatkan keyakinan pelancong domestik untuk menikmati percutian ke destinasi pilihan  tanpa rasa ragu khususnya dalam aspek keselamatan mereka.

“Kita perlu yakinkan pelancong bahawa negara ini selamat untuk dilawati, misalnya kalau kita ada 23 juta penduduk dan 15 juta melancong, maka ini jumlah yang besar yang akan menyumbang (sektor pelancongan) negara kita. Kita perlu membina keyakinan dalam kalangan pelancong bahawa melancong dalam negeri adalah  selamat,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Majlis Pelancongan Malaysia dan Tri G Technologies Sdn Bhd, hari ini.

Jelasnya, menerusi kerjasama tersebut, pelancong dan kira-kira 3.5 juta pekerja sektor pelancongan diberikan akses mudah di lebih 3,500 klinik dengan makmal yang diakreditasikan oleh Kementerian Kesihatan.

“Ini satu usaha baik dalam meyakinkan kesiapsiagaan kita untuk menyambut pelancong dalam negara dengan memberi jaminan kita mematuhi SOP (prosedur operasi standard) serta mengambil langkah keselamatan dan kesihatan,” kata Dr Ammar.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan TRI G Technologies Sdn Bhd, Nor Halim Ahmad berkata ujian tersebut disokong oleh sistem e-sijil di bawah sistem aplikasi Tracvirus.com untuk pengesahan segera.

“Ia sistem dalam talian yang menyediakan ujian COVID-19 bagi mengesan keputusan makmal dan mengeluarkan e-sijil untuk ujian COVID-19 dan menyimpan sejarah keputusan ujian makmal. Terdapat dua jenis ujian swab dan kit ujian pantas antibodi,” katanya.

Ditanya sama ada sijil yang dihasilkan oleh sistem Tracvirus.com dapat dipalsukan, beliau berkata e-sijil itu disimpan dalam pelayar secara langsung dan hanya boleh digunakan melalui pengimbas QR Code yang tidak boleh dipalsukan.

Jelasnya, ujian pengesanan itu tidak diwajibkan untuk industri, bagaimanapun semua majikan industri dan pekerja mereka yang terdedah kepada orang ramai disaran melakukan ujian COVID-19 sebagai langkah berjaga-jaga.

“Program ini bertindak memastikan barisan hadapan industri seperti penyambut tetamu di hotel, pemandu bot, dan sebagainya akan selamat dan dilindungi daripada wabak itu selain dapat mengelak majikan melakukan pemalsuan dan penipuan sijil ujian COVID-19 pekerja mereka,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan