AM

Gubal akta khas untuk angkat prinsip Rukun Negara - ahli akademik

20/07/2020 03:48 PM

Oleh Amanina Mohamad Yusof

PUTRAJAYA, 20 Julai  -- Satu akta perlu digubal untuk mengangkat prinsip Rukun Negara ke dalam Perlembagaan supaya tindakan tegas boleh diambil terhadap pihak yang memainkan isu sensitif berkaitan 3R - royal, race, religion (raja, kaum, agama), kata ahli akademik.

Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata banyak insiden yang menyentuh isu-isu sensitif mutakhir ini dilihat terlepas daripada tindakan undang-undang atau hanya dikenakan hukuman minimum.

“Banyak insiden dan polemik yang berlaku menyebabkan ramai pesalah terlepas dan tidak ada satu undang-undang khas mengenai kesalahan di bawah akta (Rukun Negara).

“Melalui kajian saya, dengan akta ini sekurang-kurangnya dapat meredakan ketegangan dan memastikan tiada pihak dengan beraninya memainkan isu sensitif berkaitan 3R,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri Taklimat Isu-Isu Semasa, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata Rukun Negara yang diwujudkan selepas peristiwa 13 Mei 1969 merupakan satu rukun, yang seperti juga kontrak sosial, tidak tertulis secara mutlak dalam Perlembagaan, namun diketahui kewujudannya.

Menurutnya seiring peredaran masa, kebanyakan rakyat kini tidak lagi menghayati prinsip yang tergaris di bawah Rukun Negara dan ini dibuktikan menerusi kajiannya pada 2018 yang melibatkan 2,850 responden remaja.

Ismail berkata kajian itu mendapati  70 peratus daripada mereka mengetahui prinsip Rukun Negara namun 60 peratus mendedahkan tidak tahu objektif rukun tersebut sementara 68.8 peratus mengakui tidak menghayati Rukun Negara.

Katanya insiden yang berlaku dalam kalangan masyarakat lewat ini menunjukkan ramai yang tidak lagi menghormati dan memahami semangat Rukun Negara dengan media sosial dijadikan gelanggang menyebar fitnah, menghina serta mengutuk individu dan organisasi.

Justeru, beliau mencadangkan agar setiap pihak, bermula dengan agensi-agensi kerajaan, memulakan inisiatif mengindoktrinasikan prinsip Rukun Negara dalam kehidupan masyarakat.

Beliau juga mencadangkan Rukun Negara diletakkan di bawah jabatan khusus memandangkan kedudukannya di bawah Kementerian Perpaduan Negara sekarang menjadikan statusnya terlalu umum.  

Ismail turut mencadangkan agar pendidikan Rukun Negara dibuat secara berstruktur bermula dari peringkat prasekolah hingga warga kerja, selain mewajibkan ahli politik mengikuti kursus khas penghayatan Rukun Negara. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan