AM

PM Muhyiddin lancar logo sambutan 50 tahun Rukun Negara

09/07/2020 06:47 PM

PUTRAJAYA, 9 Julai -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan logo sambutan 50 tahun Rukun Negara hari ini.

Dipancarkan di layar skrin dengan animasi 3-Dimensi, logo yang julung kali dicipta itu dilancarkan selepas Perdana Menteri menyampaikan ucapan di majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra di sini.

Lima jalur simbolik lima prinsip Rukun Negara yang perlu dipatuhi; bulan dan bintang melambangkan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Tengkolok berkerawang bulan dan bintang simbol prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Ia juga melambangkan Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang.

Angka 50 sempena sambutan ulang tahun Rukun Negara dan biru melambangkan amalan perpaduan dalam Kesopanan dan Kesusilaan.

Logo itu dihasilkan melalui kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Jabatan Penerangan dan Kumpulan Media Karangkraf.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacub berkata logo yang dipaparkan memberi kesan yang besar kepada masyarakat dengan menyampaikan kefahaman mengenai lima prinsip falsafah yang menjadi tunjang nasional negara.

Jelasnya simbolik tengkolok pada logo tersebut adalah keunikan warisan dan budaya Melayu yang kesetiaan kepada raja dan negara amat penting dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara.

"Kita merasakan setiap  logo yang mahu ditonjolkan perlu mempunyai 'roh' yang akan memberi kesan besar kepada masyarakat. Umum mengetahui tentang Rukun Negara ini namun kefahaman mengenai falsafah ini tidak masuk ke hati.  

"Konsep logo yang ingin diketengahkan adalah mengembalikan semangat patriotik kepada negara dengan menekankan kefahaman mengenai prinsip Rukun Negara," katanya kepada Bernama.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan