KUALA LUMPUR, 9 Julai -- Minat membaca komik Manga dan novel grafik dalam kalangan rakyat Malaysia menunjukkan budaya Jepun semakin popular di negara ini, kata Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka.
Oka berkata penceritaan, watak dan plot Manga memiliki daya tarikan universal yang memikat pemikiran pembaca, melangkaui sempadan dan perbezaan agama.
“Sejak saya tiba di Malaysia November tahun lalu, satu penemuan yang menggembirakan adalah ketika saya pergi ke sebuah kedai buku di Malaysia dan tanpa diduga menemui satu ruang besar yang dikhaskan untuk komik dan animasi Manga.
"Ukuran rak yang diperuntukkan untuk budaya pop ini menunjukkan minat rakyat Malaysia terhadap budaya pop Manga," katanya semasa berucap di majlis Penyampaian Anugerah Manga Antarabangsa ke-13 di kedutaan itu, baru-baru ini.
Turut hadir dalam majlis itu kartunis terkenal Malaysia, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid, yang lebih dikenali sebagai Lat.
Manga merujuk kepada gaya komik atau novel grafik tertentu yang telah dikembangkan di Jepun sejak abad ke-19, dan diterima sebagai sebahagian budaya ‘otaku’ atau ‘geek’ Jepun - seiring dengan anime, penyanyi idola, dan permainan video.
Mengulas lanjut, beliau berkata jumlah pelanggan dalam talian untuk komik Manga meningkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, dan berharap dapat melihat lebih banyak langganan seperti itu di bawah normal baharu akibat COVID-19.
Oka berkata, Anugerah Manga Antarabangsa itu, diwujudkan pada 2007 bertujuan menghormati artis manga bukan Jepun atas sumbangan mereka terhadap budaya Manga di luar Jepun, akan lebih memperkaya pemahaman budaya dan memperkukuh hubungan mesra antara Jepun dan Malaysia.
Menurut beliau, sebanyak 345 penyertaan diterima daripada 66 negara, dengan 15 pemenang dipilih untuk Anugerah Manga Antarabangsa ke-13.
Semasa majlis berkenaan, artis Manga Malaysia, Lam Quek Chung - yang lebih dikenali sebagai LEOZ - menerima sijil daripada Oka kerana memenangi anugerah gangsa untuk komiknya bertajuk 'Detektif Hantu: Kesumat'.
Artis berusia 33 tahun berasal dari Taiping, Perak itu berkata komiknya adalah sekuel karya asal kartunis tempatan bernama ‘Totoro’, mengisahkan seorang detektif mempunyai kekuatan luar biasa menyelesaikan kes-kes rumit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial