AM

Polisi Nuklear dan Sinaran mangkin pematuhan penggunaan tenaga atom

07/07/2020 06:17 PM

KUALA LUMPUR, 7 Julai -- Pernyataan Polisi Pengawalseliaan Keselamatan Nuklear dan Sinaran yang diluluskan Jemaah Menteri pada 17 Jun lalu akan menjadi pemangkin kepada pematuhan keselamatan oleh pemegang lesen yang menggunakan tenaga atom dalam bidang industri, penyelidikan, perubatan dan bidang berkaitan lain.

Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dalam kenyataan hari ini berkata polisi yang dibangunkan di bawah skop tadbir urus Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) itu juga merupakan komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan nuklear dan sinaran menerusi kawalan perundangan yang cekap ke atas sebarang aktiviti penggunaan tenaga atom dalam negara.   

“Polisi ini adalah asas kepada sebarang perundangan yang akan digubal pada masa hadapan bagi melindungi pekerja, alam sekitar, orang awam dan generasi hadapan daripada sebarang risiko dedahan atau pencemaran.

“Pernyataan polisi ini menekankan amalan budaya keselamatan melalui pematuhan terhadap parameter dan standard keselamatan sinaran dan nuklear yang selari dengan amalan terbaik antarabangsa yang disyorkan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa,” kata AELB dalam kenyataan itu.

Menurut AELB, tahap pematuhan keselamatan nuklear dan sinaran yang tinggi akan meningkatkan keyakinan pihak pengeluar teknologi dari luar negara yang akan memberi faedah kepada pembangunan sains, teknologi, perkembangan industri dan pendidikan dalam negara.

“Penekanan aspek pembudayaan keselamatan melalui polisi ini akan memperkukuhkan keupayaan kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan untuk sebarang pengurusan insiden nuklear dan radiologi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, polisi yang dibangunkan itu juga merupakan suatu usaha untuk meningkatkan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap kesungguhan dan keupayaan kawalan perundangan tenaga atom di negara ini.

“Polisi itu dibangunkan dengan teliti secara kolektif melibatkan pihak berkepentingan seperti kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam menerusi sesi libat urus dan kajian soal selidik yang dilaksanakan dari 2016 hingga 2019,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan