EKONOMI

MARii, Perodua meterai MoU wujudkan pekerjaan, latih semula 1,000 tenaga kerja diberhentikan

02/07/2020 04:54 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai -- Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk mewujudkan pekerjaan, dan melatih semula 1,000 tenaga kerja yang diberhentikan berikutan pandemik COVID-19.

MARii turut menandatangani MoU yang berkaitan dengan Persatuan Pembekal Perodua (P2SA) dan Persatuan Pengedar Perodua (PDA).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Madani Sahari berkata, inisiatif strategik awam-swasta itu menggabungkan kepakaran, infrastruktur, teknologi dan kemudahan untuk memberi tumpuan kepada keperluan segera industri dan melindungi mata pencarian tenaga kerja Malaysia.

“MoU ini menggabungkan kepakaran pembangunan tenaga kerja MARii dan rangkaian rantaian nilai Perodua yang luas untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang dalam sektor automotif.

“Kerjasama ini juga akan memberi sumber pendapatan kepada ramai rakyat Malaysia yang kehilangan pekerjaan berikutan langkah pengurangan atau pemberhentian pekerja semasa kelembapan ekonomi, melalui program yang dibangunkan untuk melatih semula dan menggaji semula mereka,” katanya.

Beliau berkata program itu akan memenuhi permintaan tenaga kerja industri automotif melalui pengekalan tenaga kerja sedia ada dari pelbagai sektor, menyelaras semula kemahiran dan pengalaman mereka dalam industri masa depan termasuk digitalisasi, operasi berdasarkan data, pembuatan pintar, reka bentuk kreatif, jualan digital dan perdagangan.

“Kami berhasrat untuk membantu sektor yang terjejas teruk dahulu berikutan COVID-19 seperti penerbangan, pelancongan dan industri pembuatan terpilih.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting dalam memastikan tenaga kerja kami mempunyai peluang untuk terus berkembang dalam kerjaya dengan nilai tinggi, berikutan kami menyasarkan untuk menyepadukan 1,000 tenaga kerja dalam sektor automotif dan mobiliti,” kata Madani.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan