AM

Rakyat digalakkan guna pelitup separuh muka guna semula untuk jaga alam sekitar

30/06/2020 09:20 PM

GEORGE TOWN, 30 Jun -- Rakyat Malaysia digalakkan untuk menggunakan pelitup separuh muka guna semula berbanding jenis pakai buang bagi melindungi alam sekitar sambil mengurangkan penyebaran virus COVID-19.

Menurut wakil CNI Enterprise (M) Sdn Bhd (CNI) Cheng Lee Yen, terdapat bukti menunjukkan pelupusan pelitup separuh muka dan sarung tangan pakai buang tidak dilakukan dengan baik di Malaysia  dan boleh menyumbang kepada pencemaran sampah plastik memandangkan ia diperbuat daripada bahan plastik berasaskan petroleum.

"Kita mahu melindungi diri daripada COVID-19 tetapi tidak semestinya dengan hanya menggunakan jenis pakai buang. Kita boleh menggunaan pelitup separuh muka guna semula dan sentiasa menjaga penjarakan sosial untuk melindungi diri sambil menjaga alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Masks4All Malaysia Movement'  di sini, hari ini.

Sebanyak 1,000 keping pelitup separuh muka guna semula diedarkan kepada tiga badan bukan kerajaan (NGO) iaitu Mr. Gan Zhi Jia Ltd, Persatuan Hemodialisis Fo Yi Pulau Pinang serta Pure Lotus Hospice of Compassion manakala fasa pertama kempen itu bermula hari ini hingga 11 Julai akan menyaksikan syarikat berkenaan mengedarkannya di kawasan perumahan terpilih di Pulau Pinang, Perak, Kedah, Johor dan Kuala Lumpur.

Cheng berkata penggunaan pelitup separuh muka pakai buang serta peralatan pelindung diri yang lain perlu diutamakan dan patut dikhaskan untuk penyedia perkhidmatan perubatan dan kesihatan bagi tujuan keselamatan.

"CNI percaya melalui sumbangan ini dapat membantu masyarakat dan alam sekitar, serta memastikan penyedia perkhidmatan kesihatan kita mempunyai peralatan dan bekalan perubatan penting untuk melawan virus COVID-19," tambah beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan