PEKAN, 30 Jun -- Pembinaan 10 menara komunikasi baharu bagi perkhidmatan 4G di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan dapat memberi liputan internet yang lebih baik kepada penduduk sekitarnya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata, inisiatif untuk menambah baik capaian internet dibuat berdasarkan keputusan pemantauan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di 15 kawasan di DUN Chini pada 27 Mei lepas yang mendapati capaian internet di situ adalah sangat rendah.
"Selain membina menara baharu, sebanyak 11 menara sedia ada akan dinaik taraf daripada 2G dan 3G kepada 4G. Untuk perkhidmatan jalur lebar tetap pula, 439 premis daripada rangkaian jalur lebar tembaga sedia ada akan dinaik taraf kepada rangkaian jalur lebar gentian optik.
"Inisiatif penaiktarafan yang akan dilaksanakan oleh Telekom Malaysia Bhd ini dijangka siap akhir tahun 2021," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Media di Pusat Media Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini di Kampung Salong dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah SKMM Pahang Zahari Ismail, Pengurus Besar Telekom Malaysia Pahang Datuk Zulfikri Hashim, Pengarah Penerangan Pahang Mohd Salmun Mustafa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu.
Saifuddin juga memaklumkan buat masa ini, terdapat dua stesen pemancar di menara sedia ada di Chini dan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Paloh Hinai telah dinaik taraf kepada perkhidmatan 3G dan 4G pada suku kedua 2020 selain sebuah menara baharu dengan perkhidmatan 3G dan 4G telah beroperasi semenjak suku kedua 2020.
Selain itu, proses menaik taraf dan peluasan liputan internet telah dijalankan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dengan menempatkan pemancar telekomunikasi bergerak secara sementara mulai Jun manakala menara sedia ada dinaik taraf kepada rangkaian 4G secara kekal.
"Langkah ini bagi menampung khalayak yang berkunjung ke Chini terutamanya kawasan rancangan penempatan utama Felda. Hasil kerja penambahbaikan dan penaiktarafan liputan ini membolehkan penduduk di sini dan kawasan sekitar menikmati liputan internet yang lebih baik dan stabil berbanding sebelum ini," katanya.
Walaupun banyak penambahbaikan dilakukan buat masa ini, Saifuddin berkata masih ada beberapa tempat dalam DUN Chini terutamanya di kawasan pedalaman yang masih kurang dan memerlukan peningkatan liputan komunikasi dengan pembangunan infrastruktur atau menara yang baharu.
Sehubungan itu, Saifuddin memberi jaminan rancangan penambahbaikan akan terus dilakukan kementerian itu bagi memastikan penduduk setempat mendapat perkhidmatan komunikasi yang terbaik demi kesejahteraan mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial