AM

Pelancongan domestik rekod perbelanjaan RM103.2 bilion pada 2019

30/06/2020 01:16 PM

PUTRAJAYA, 30 Jun -- Perbelanjaan pelancongan domestik mencatatkan pertumbuhan dua digit pada 2019 iaitu 11.5 peratus kepada RM103.2 bilion daripada RM92.6 bilion pada 2018, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan itu dipacu oleh peningkatan perbelanjaan oleh pelancong dan pelawat harian, dengan masing-masing merekodkan perbelanjaan sebanyak RM67.9 bilion dan RM35.3 bilion.

"Ini adalah pertumbuhan dua digit bagi empat tahun berturut-turut," katanya dalam satu kenyataan hari ini mengulas penerbitan Laporan Survei Pelancongan Domestik 2019 yang merangkumi statistik berkaitan ketibaan pelawat, perbelanjaan pelancongan, trend perjalanan dan profil sosial serta demografi pelawat domestik.

Mohd Uzir berkata beli-belah mencatatkan peratus sumbangan tertinggi daripada keseluruhan jumlah perbelanjaan yang dibuat oleh pelawat domestik untuk perjalanannya pada 2019 dengan sumbangan sebanyak 37.8 peratus.

Beliau berkata bilangan pelawat domestik meningkat kepada 239.1 juta pada 2019 dengan pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus.

Mohd Uzir berkata peningkatan bilangan pelawat domestik itu disokong oleh pertumbuhan jumlah pelawat harian dan pelancong, yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.0 peratus dan 8.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, pelawat domestik melakukan sejumlah 332.4 juta perjalanan dalam negara pada 2019 yang 42.3 peratus daripadanya adalah bagi tujuan melawat saudara mara dan rakan.

"Trend ini adalah selari dengan budaya penduduk Malaysia yang akan pulang ke kampung pada musim perayaan," katanya.

Mohd Uzir juga berkata Selangor adalah negeri yang paling ramai dikunjungi pelawat domestik pada 2019 iaitu seramai 33.6 juta pelawat, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (22.6 juta), Sabah (22.0 juta), Perak (21.1 juta) dan Sarawak (19.8 juta).

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan