AM

Tiga anggota TLDM maut, seorang cedera dalam kemalangan jalan raya di Ranau

23/06/2020 11:35 PM

RANAU, 23 Jun -- Tiga anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Markas Wilayah Laut (Mawilla) 2 Pangkalan TLDM Sandakan maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Ranau-Kota Kinabalu dekat sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata sepasukan tujuh anggota serta pegawai bomba dan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) serta pacuan empat roda untuk membantu operasi, selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.03 petang.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba dan penyelamat mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori TLDM yang terbabas sendiri. Pasukan bomba dan penyelamat bertindak mengalihkan mereka yang terlibat dari lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi. 

Sementara itu Mawilla 2 di Sandakan dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang maut dikenali sebagai Laskar Kanan PAP Maslim Abdul Rahim dari Semporna, Laskar Kelas I TNL Mohamad Firdaus Mat Izan (Kluang, Johor) dan Laskar Kelas I TMK Muhammad Arif Idris (Melaka), manakala yang cedera ialah Laskar Kelas II TLR Vincent M Orel.

"Dalam kejadian itu, kenderaan jenis lori tiga tan milik TLDM telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan. Kesemua anggota yang terlibat dalam nahas itu sedang dalam perjalanan ke Pangkalan TLDM Kota Kinabalu, Teluk Sepanggar dari Pangkalan TLDM Sandakan bagi melaksanakan tugas rasmi," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan