SUKAN

Kolam renang bagi latihan sukan dibenarkan mulai 25 Jun

19/06/2020 06:23 PM

PUTRAJAYA, 19 Jun  -- Kerajaan membenarkan sektor sukan air di kolam renang, untuk aktiviti latihan tanpa sentuhan fizikal serta kolam renang di tempat terkawal dan awam, beroperasi bermula 25 Jun ini dengan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran ini termasuk aktiviti terjun dan menyelam, dengan mengikut sesi serta jumlah yang dihadkan pada satu-satu masa, berdasarkan kapasiti kolam renang.

Katanya, kebenaran itu diberikan kepada atlet kebangsaan, negeri, dan perenang kelab, serta akademi renang dalam program latihan tertentu, dan untuk peserta atau perenang, dalam program latihan berperingkat seperti program ‘belajar berenang’.

Peserta perlu mematuhi SOP yang akan diumumkan Kementerian Belia dan Sukan nanti, seperti pendaftaran aplikasi MySejahtera, jarakan sosial tiga hingga lima meter semasa aktiviti, dan lain-lain,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, operator kolam renang, kelab, dan akademi renang, perlu membuat pendaftaran notifikasi pembukaan kolam renang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), di laman web https://notification.miti.gov.my bagi tujuan pematuhan SOP dan pemantauan oleh KBS. 

Katanya, bagi kolam renang di tempat terkawal seperti kolam renang persendirian di kediaman, kolam renang awam di hotel, dan kelab rekreasi pula, kebenaran akan tertakluk kepada SOP kolam renang, yang akan diumumkan nanti.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), sedang perhalusi lagi SOP tersebut dan akan maklumkan sebelum orang ramai boleh melakukan aktiviti di kolam-kolam renang awam.

“Antara syarat yang perlu dipatuhi adalah menyediakan petugas kolam renang atau 'life guard', untuk memastikan jumlah pengguna kolam renang terkawal. Jumlah pengguna masih perlu dihadkan mengikut kapasiti kolam renang,” jelasnya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, aktiviti promosi jualan di ruang legar pusat-pusat membeli belah, turut dibenarkan dengan mengikut SOP yang disediakan.

Mengulas tentang SOP restoran dan kedai makan pula Ismail Sabri berkata, walaupun premis berkenaan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh, namun aspek jarakan sosial masih perlu dipatuhi.

“Selagi ia boleh penuhi SOP jarakan sosial, maka kita tak hadkan jumlah individu di satu meja yang sama. Contohnya bagi mereka yang datang daripada keluarga sama, boleh duduk bersama dengan syarat ada jarakan sosial,” katanya.

Berkenaan penganjuran majlis melibatkan perhimpunan ramai seperti latihan, kursus dan majlis tamat latihan, ia juga dibenarkan dengan had maksimum jumlah peserta tidak melebihi 250 orang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan