AM

Jangan salah guna ubat ‘dexamethasone’ untuk rawat COVID-19 - Dr Noor Hisham

17/06/2020 06:47 PM

PUTRAJAYA, 17 Jun -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyalah guna atau mengambil ubat ‘Dexamethasone’ tanpa preskipsi daripada doktor untuk merawat wabak COVID-19. 

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan, dan ia perlu diimbangi dengan keperluan penggunaannya bagi penyakit-penyakit tertentu. 

“Salah satu kesan sampingannya adalah sindrom ‘cushing', penipisan kulit, dan beberapa siri kesan sampingan seperti kehilangan keupayaan tulang serta kelemahan otot, bergantung kepada tempoh berapa lama pengambilannya,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. 

Beliau berkata Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit, termasuk kepada pesakit kanser, dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat Dexamethasone dalam merawat COVID-19 yang dikenali sebagai ‘Recovery Trial’ di University of Oxford itu. 

“Hasil dapatan awal ‘Recovery Trial’ menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala penafasan yang serius, terutamanya mereka yang berada di tahap lima dan memerlukan bantuan pernafasan. 

“Namun, ujian klinikal ini juga mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau yang tidak memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. 

Katanya ubat ini hanya digunakan di wad Unit Rawatan Rapi, maksimum empat miligram dan lima hari sahaja dalam kalangan pesakit kritikal COVID-19 tahap lima. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan