AM

PKPP: Peraturan ketat di asrama sekolah - Jabatan Pendidikan NS

10/06/2020 05:37 PM

SEREMBAN, 10 Jun -- Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS) akan memperketatkan kawalan di asrama sekolah bagi memastikan pelajar mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Pengarah JPNNS Md Fiah Md Jamin hari ini berkata, selain itu mereka juga menetapkan supaya proses sanitasi di kawasan sekolah dan asrama termasuk tandas serta bilik tidur, dilakukan dua kali setiap hari.

“SOP semasa berada di asrama telah kita keluarkan...pihak sekolah dan warden asrama akan memastikan setiap pelajar mematuhinya, malah penempatan pelajar termasuk susun atur katil dan bilangan pelajar di asrama juga akan dikurangkan, bagi memastikan ia tidak terlalu sesak,” katanya.

Terdahulu Md Fiah telah mengadakan lawatan kerja Program Simulasi Pengoperasian Pembukaan Sekolah Pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Peringkat Negeri Sembilan, di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini.

Md Fiah berkata, sekiranya penggunaan dilihat meningkat dan memerlukan pembersihan sanitasi lebih daripada dua kali, pihaknya akan meminta kontraktor yang dilantik untuk melakukannya.

Beliau berkata, kira-kira 15,000 orang pelajar Tingkatan Lima dan Enam, bersedia untuk memulakan sesi persekolahan termasuk 998 pelajar, di 78 buah asrama sekolah di seluruh Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan