AM

Rindu belajar memasak dengan emak? jangan risau, Che Nom ada

25/05/2020 01:51 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

KUALA LUMPUR, 25 Mei  -- Bagaikan belajar memasak dengan emak.

Begitulah gambaran yang sentiasa bermain di minda penonton tatkala mereka terbuai mendalami resipi masakan Che Nom, seorang YouTuber tempatan yang sedang meniti populariti ketika ini.

Sinonim dengan pembuka kata ‘hai semua’ disulami suaranya yang lembut ketika menurunkan ilmu masakan kepada penonton, maka tidak hairanlah ramai terpaku akan keunikan dimiliki Che Nom, 39, atau nama sebenarnya Normah Bakar.

Mana tidaknya, setakat ini, kesemua video di salurannya telah mencatat lebih 12 juta tontonan dan dilanggan lebih 500,000 pelayar YouTube sejak dilancarkan pada tahun 2012.

Namun, langkah beliau untuk bergiat secara aktif pada tahun lepas dengan memuat naik lebih banyak kandungan video masakan ke saluran YouTube beliau mula membuahkan hasil lantas mengubah corak kehidupannya selepas satu demi satu videonya tular di media sosial.

Walaupun namanya sedang mekar di bibir warga maya, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Che Nom sebenarnya sanggup melepaskan kerjaya sebagai seorang jurutera pada tahun lepas selepas menyedari hidup sebagai seorang YouTuber membawa pendapatan yang lebih lumayan.

Beliau menyifatkan keputusan meninggalkan kerjaya sebagai jurutera setelah mencurah bakti hampir 13 tahun bersama sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi tempatan sebagai titik perubahan terhadap dirinya.

“Selain mahu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri saya, tindakan diambil ini bukan hanya sekadar untuk berkongsi resipi, tetapi sebagai batu loncatan untuk meneroka lebih banyak ilmu yang berkaitan lebih-lebih lagi mengenali dunia kulinari dengan lebih meluas lagi, walaupun bukan sebagai seorang cef,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Enggan mendedahkan jumlah sebenar pendapatannya, anak jati Kedah itu mengakui bahawa pendapatan yang dijananya itu agak selesa.

Che Nom menarik perhatian walaupun pendapatan yang diraihnya itu sangat memuaskan, namun hidup sebagai YouTuber juga mempunyai cabaran tersendiri sehingga menuntutnya untuk mengubah mentaliti hidupnya selama ini.

“Sebelum ini saya bekerja makan gaji, jadi mentaliti lebih kepada menurut segala dasar atau arah tuju yang telah ditentukan oleh pihak majikan.

“Apabila sudah menjadi ‘YouTuber’ sepenuh masa, saya perlu lebih bijak merancang dan mengurus masa kerana kita yang menggerakkan sendiri saluran itu…berjaya atau tidak, semuanya di tangan sendiri…macam orang berniaga jugalah,” ujarnya yang turut mempunyai laman web sendiri resepichenom.com.

Ditanya mengapa beliau tidak memaparkan wajahnya di dalam videonya, ibu kepada tiga orang anak itu berkata sisi kelainan ditampilkannya itu adalah konsep video masakannya yang merupakan usaha sama oleh suaminya, Syed Ridzuan Syed Nopal, 41 tahun.

“Suami ialah orang kuat dalam penghasilan video YouTube saluran Che Nom kerana kebanyakan konsep dan idea videografi datang daripadanya. 

“Mungkin juga pada masa akan datang saya akan perkenalkan konsep baharu dengan memaparkan muka namun setiap keputusan yang membawa perubahan itu akan dibuat dengan teliti,” katanya yang mula minat memasak sejak melanjutkan pengajian pada zaman universiti lagi.

Pemegang ijazah sarjana muda pengkomputeran matematik itu mengakui gemar memasak masakan Melayu dan menjadikan figura masakan popular negara iaitu Chef Wan sebagai idolanya.

Beliau pada masa sama memasang impian untuk menerbitkan buku masakan sendiri selain berharap agar saluran YouTubenya mampu meraih satu juta pelanggan pada masa akan datang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan