AM

Biarpun sedih tidak pulang ke kampung, persiapan raya tetap rancak

22/05/2020 08:43 AM

Oleh Muhammad Basir Roslan dan Nor Hidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 22 Mei  – “Sebenarnya kami nak pujuk hati sendiri. Jadi, kami pun ambil keputusan mengecat rumah, memasang lampu pelita di sekeliling rumah serta menghias rumah dengan lampu kelip-kelip untuk memeriahkan lagi suasana pada hari lebaran nanti,” luah pasangan suami isteri, Noor Hafiza Yosni dan suaminya, Faizul Shafie.

Noor Hafiza, 34, dan Faizul, 34, bersama tiga anak mereka adalah antara warga kota yang tidak dapat pulang beraya ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tidak membenarkan pergerakan merentas negeri kerana kemungkinan boleh menyumbang kepada risiko jangkitan COVID-19 kepada keluarga masing-masing.

Kesudahannya, pasangan suami isteri itu serta tiga anak mereka, Nur Adelia Humaira, lepan tahun, Muhammad Addeen Hariz, lima tahun, dan Muhammad Adam Hariz, tiga tahun, buat pertama kalinya akan beraya di rumah mereka sendiri yang terletak di Puncak Alam.

“Ini adalah kali pertama kami beraya di rumah sendiri sejak menetap di sini lima tahun lepas. Ini juga adalah kali pertama kami mengecat rumah sendiri. Kami tidak seronok (kerana tidak dapat pulang ke kampung) tetapi jujurnya, kami akui sedikit resah.

“Bukan apa, kami hanya mahu timbulkan suasana yang sedikit berlainan dari biasa. Paling tidak, bolehlah mengubat hati kami yang sedang duka lara kerana tidak dapat beraya di kampung halaman,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah mereka baru-baru ini.

Tidak hanya itu, keluarga ini juga memanfaatkan masa yang ada di rumah dengan mengemas rumah, memasang langsir baharu serta membuat sedikit kuih raya sebagai persiapan menjelang Hari Raya nanti.

Kebiasaannya kata Noor Hafiza, mereka sekeluarga akan secara bergilir-gilir pulang ke kampung halaman masing-masing di Lenggong dan Lumut di Perak.

“Bagi kami, pulang ke kampung halaman bagi menyambut lebaran adalah satu perkara wajib dan biasanya kami akan bercuti selama seminggu di sana. Jarak kampung saya dan kampung suami pun tidak jauh, sekitar dua jam perjalanan sahaja.

“Lagipun, kami berdua memiliki keluarga yang sangat besar dan selalu melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama sanak-saudara seperti ziarah-menziarahi, aktiviti membuat lemang dan bermain bunga api.Namun raya kali ini sedikit berbeza kerana masing-masing hanya sambut raya di rumah sendiri,” katanya.

Sementara itu, Faizul yang juga ketua keluarga menyedari akan pelaksanaan PKPB adalah demi kebaikan semua pihak, susulan itu, keluarganya akan mengehadkan kedatangan tetamu daripada ahli keluarga terdekat sahaja pada hari raya pertama nanti.

“Insya-Allah, kakak dan beberapa anak saudara belah saya akan berkunjung ke rumah kami nanti. Oleh itu, kami akan memastikan tetamu yang hadir perlulah memakai pelitup separuh muka.

“Kami juga akan menyediakan cecair pembasmi kuman dan sentiasa memastikan jarak sosial selamat dapat dilaksanakan di antara satu sama lain,” kata Faizul, seorang jurutera teknologi di sebuah syarikat di Puchong.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar dapat terus melaksanakan setiap langkah penjagaan kebersihan diri dalam usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

Lain pula cerita buat pasangan Yang Suhaini Abd Aziz, 41, dan suaminya, Shazrizal Dahalan, 44, serta tiga anak mereka, Muhd Afiq, 16, Muhd Adib, 13, dan Muhd Aqeef, sembilan tahun, yang tidak dapat pulang beraya di Linggi, Negeri Sembilan, tahun ini.

Yang Suhaini berkata keluarganya sudah memutuskan untuk tidak pulang ke rumah mertuanya walaupun hanya berdekatan dengan rumah mereka di Puncak Alam atas faktor keselamatan. 

“Ibu bapa mertua saya adalah kumpulan warga emas yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan COVID-19 kerana faktor umur dan penyakit kronik.

“Biasanya, sehari sebelum raya, suami akan menjenguk sebentar ibu bapanya. Namun tidak mengapa, pada zaman canggih teknologi maklumat ini kita masih boleh berhubung dengan mereka menerusi panggilan video,” kata Yang Suhaini.

Pada masa sama, akibat kekangan terhad untuk menempah kuih raya di kawasan perumahannya, pekerja swasta ini mengakui terkejut dengan kebolehan diri dan kerajinan anak bujangnya memasuki dapur bagi menyediakan kuih dan kek raya.

“Buat pertama kalinya, saya membuat kuih raya sendiri… adalah dalam tiga jenis iaitu conflakes crunchy, coklat cip dan coklat cip almond serta kek marble.

“Jujurnya, ini adalah percubaan pertama kami anak beranak kerana sebelum ini saya lebih selesa menempah daripada orang lain kerana kekangan kerja,” katanya yang telah turut memasang langsir baharu sebagai dekorasi tambahan di rumahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan