KUALA LUMPUR, 21 Mei -- Kisah nasi goreng air tangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menggamatkan Mahkamah Tinggi di sini hari ini, yang kebiasaannya suram, ketika beliau cuba menceritakan sebab beliau mempercayai Low Taek Jho atau Jho Low dan keakraban ahli perniagaan dalam buruan itu dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 50, berkata beliau terkenal kerana masakan ‘nasi goreng kampungnya yang enak dan pernah menyajikan makanan itu kepada Jho Low.
“Jho bertanya kepada saya sama ada beliau boleh membawanya sedikit kepada Datuk Seri Najib dan saya memasaknya untuk diberikan kepada bekas perdana menteri itu. Beliau kemudian memberikan maklum balas bahawa Datuk Seri sukakan nasi goreng saya, namun saya tidak pernah berkesempatan untuk menyoal Datuk Seri mengenai perkara itu secara peribadi,” katanya.
Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, yang berdepan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Shahrol Azral, yang menyandang jawatan CEO 1MDB dari 2009 hingga 2013, berkata itu adalah antara insiden yang meyakinkan beliau bahawa Jho Low mempunyai akses kepada Najib pada bila-bila masa sahaja.
Beliau berkata Jho Low turut memberikan nombor telefon pembantu Najb di kediaman pemimpin itu di Langgak Duta.
“Kesemua ini adalah perkara-perkara kecil yang berlaku sehingga menyebabkan saya percaya hubungan mereka begitu akrab,” katanya.
Muhammad Shafee: Adakah Najib pernah berkata kepada anda ‘Shahrol, nasi goreng tu sedaplah’.
Shahrol Azral: Tidak, beliau tidak pernah berkata demikian.
Muhammad Shafee: Jadi anda mempunyai keyakinan yang penuh terhadap Jho Low. Tiada apa yang boleh membuatkan anda mempertikaikan beliau?
Shahrol Azral: Ya.
Terdahulu, saksi itu berkata pengurusan atau lembaga pengarah 1MDB tidak pernah melihat dokumen kewangan atau akaun teraudit Petrosaudi Oil Services Ltd (PSOSL) selepas pemerolehan kepentingan 1MDB daripada syarikat itu pada awal 2012.
Kepentingan itu sepatutnya adalah sebahagian daripada proses likuidasi bagi nota Murabahah 1MDB yang dimilikinya dalam usaha sama dengan PetroSaudi International (PSI International), bagaimanapun ia telah dijual kepada Bridge Partners International Investments.
Penjualan kepentingan 1MDB sebanyak 49 peratus dalam PSOSL kepada Bridge Partners turut membabitkan Jho Low serta penasihat umum 1MDB Jasmine Loo dan didakwa telah dibenarkan oleh Najib.
Muhammad Shafee: Saya katakan kepada anda ini adalah satu penipuan, tidak syak lagi oleh Jho Low namun beliau tidak boleh melakukannya sendirian (tanpa) orang suruhan, termasuk anda dan Jasmine, selain pengurusan yang diletakkan dengan begitu cantik oleh Jho Low.
Shahrol Azral: Saya tidak setuju.
Muhammad Shafee: Tidak mungkin PM (ketika itu Datuk Seri Najib) terlibat kerana beliau sendiri telah diperdaya. Beliau percayakan pengurusan kerana beliau tidak boleh melakukan pengurusan mikro.
Shahrol Azral: Saya tidak boleh komen mengenai apa yang PM tahu atau tidak tahu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 4 Jun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial