AM

Kebenaran Solat berjemaah di masjid, surau di Sabah bermula 22 Mei

20/05/2020 01:04 AM

KOTA KINABALU, 19 Mei  -- Majlis Fatwa Negeri Sabah telah mengambil ketetapan untuk membenarkan aktiviti solat berjemaah termasuk terawih dan solat Jumaat di masjid dan surau terpilih bermula Jumaat ini.

Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar bagaimanapun berkata kebenaran itu hanya diberikan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sahaja dan tidak melebihi empat jemaah.

Beliau berkata bagi solat terawih, lebih digalakkan didirikan lapan rakaat dan selebihnya dilaksanakan di rumah  manakala solat Jumaat bilangan ahli jemaah tidak kurang daripada tiga orang dan tidak lebih daripada 12 jemaah termasuk imam dan khatib. 

"Bagaimanapun, kebenaran ini tidak melibatkan solat sunat Aidilfitri. Oleh itu, semua jemaah dinasihatkan supaya mengadakan solat sunat itu di rumah.

"Takbir hari raya hanya dibenarkan pada malam raya sahaja dengan bilangan jemaah empat orang dalam kalangan AJK masjid atau surau," katanya dalam kenyataan, di sini malam ini.

Bungsu Aziz berkata AJK masjid dan surau yang berusia lebih 70 tahun tidak dibenarkan untuk hadir berjemaah.

Beliau berkata setiap jemaah perlu membuat pengesanan suhu badan, memakai penutup hidung dan mulut, menggunakan cecair pembasmi kuman, merekodkan kehadiran dan perlu ada penjarakan sosial antara jemaah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan