JOHOR BAHRU, 18 Mei -- Polis Johor mengingatkan orang ramai supaya tidak membuang masa memohon perjalanan rentas negeri untuk pulang berhari raya.
Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kebenaran hanya diberikan untuk kes kecemasan sahaja.
Beliau berkata polis menerima 1,000 hingga 1,500 permohonan rentas negeri daripada orang ramai setiap hari sejak beberapa hari lepas di balai polis seluruh negeri dengan kira-kira 70 peratus daripadanya adalah permohonan untuk pulang berhari raya di kampung masing-masing.
"Kita hanya benarkan rentas negeri bagi kes kecemasan sahaja. Oleh itu, jangan buang masa anda membuat permohonan jika itu alasannya mahu rentas negeri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terus berdegil mengambil kesempatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini untuk pulang ke kampung mereka.
“Jika masih terus berdegil, mereka akan diarahkan berpatah balik di pintu keluar negeri. Masih ada 33 Sekatan Jalan Raya (SJR) di pintu keluar negeri ini termasuk di lebuh raya dan jalan negeri atau kampung dan jika tiada surat kebenaran mereka akan diarahkan berpatah balik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial