AM

Hari Guru: Tiga beradik zahir penghargaan dengan kad bahan kitar semula

16/05/2020 10:43 PM

KUALA LUMPUR, 16 Mei  -- Sekolah masih ditutup, tetapi ia tidak menghalang tiga adik beradik, anak kepada seorang tukang kimpal profesional di Kulim, Kedah, untuk menzahirkan penghargaan buat guru mereka sempena Sambutan Hari Guru, hari ini.

Tiga adik beradik iaitu pasangan kembar, Kavishaa dan Kavinisha Jagathisan, 12, serta adik lelaki mereka Dhahksyahn Jagathisan, 7, menghadiahkan kad ucapan 3 dimensi (3D) yang diperbuat daripada bahan kitar semula, kepada guru-guru mereka bersempena Hari Guru.

Bapa mereka, Jagathisan Nadarajan, 38, berkata, anak-anaknya mengumpulkan bahan kitar semula yang ada di rumah termasuk botol, surat khabar dan kertas pembungkus, untuk menghasilkan sesuatu yang istimewa bagi menzahirkan penghargaan dan kerinduan kepada guru mereka,  sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan COVID-19.

“Disebabkan ini waktu PKPB, dan kami tidak boleh mendapatkan bahan yang diperlukan kerana kedai tertentu masih ditutup, anak-anak saya melakukan sesuatu yang kreatif dengan menggunakan semua bahan sedia ada di rumah, untuk menghasilkan kad berwarna-warni ini.

“Masing-masing mereka,  mengambil masa kira-kira 30 minit, untuk menghasilkan kad-kad ini yang diperbuat menggunakan alat tulis asas dan bahan kitar semula seperti surat khabar, dulang kek dan tisu gulung,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Jagathisan, anak-anaknya lebih suka membuat kad sendiri berbanding membelinya, kerana ia lebih bernilai dan menunjukkan rasa kasih sayang.

Kavishaa menghasilkan kad timbul berwarna oren dengan meja guru 3D, Kavinisha membuat kad yang mengeluarkan ejaan ‘guru’ manakala Dhahksyahn membuat sepanduk kecil dengan melukis gambar seorang guru.

Kaavisha, yang pernah memenangi pertandingan puisi peringkat kebangsaan, turut menghasilkan beberapa puisi Hari Guru, yang menggembirakan guru-gurunya.

Para pelajar Sekolah Rendah Taman Kenari, Kedah  itu telah menghantar kad berwarna-warni mengandungi ucapan dan gambar melalui aplikasi WhatsApp kepada guru masing-masing, dan mereka menerima ucapan yang amat menyentuh hati daripada guru-guru mereka.

"Saya tidak pernah rasa segembira ini. Terima kasih yang tidak terhingga,” kata salah seorang guru mereka yang dikenali sebagai Cikgu Samema.

Jagathisan juga berkata walaupun anak-anaknya tidak bersekolah, mereka tetap berhubung dengan guru melalui aplikasi WhatsApp.

“Tugasan kelas dan kerja sekolah diberikan menerusi telefon dan jika mempunyai pertanyaan, mereka tidak teragak-agak untuk menghubungi guru mereka dan berbincang,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan