AM

Aktiviti ziarah dibenarkan bagi hari pertama perayaan sahaja - Ismail Sabri

13/05/2020 08:22 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei  -- Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan untuk menghadkan aktiviti ziarah pada Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai untuk hari pertama perayaan sahaja susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti ziarah itu hanya terhad kepada ahli keluarga terdekat sahaja dan tidak boleh melebihi 20 orang pada satu hari.

“Jumlah maksimum 20 orang sehari ini juga perlu mengambil kira saiz kediaman masing-masing bagi memastikan prosedur operasi jarak sosial dapat diamalkan. Katakan rumah flat 600 kaki persegi, 20 orang dalam satu (masa) terlalu ramai dan sukar ada jarak sosial. Jadi mungkin jumlah individu itu perlu dikecilkan.

“Prosedur operasi standard berkaitan amalan penjagaan kesihatan perlu diikuti sewaktu berkunjung seperti pemakaian pelitup separuh muka, cecair pembasmi kuman dan basuh tangan dengan sabun sewaktu menziarah,” katanya pada sidang media harian mengenai PKPB di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, amalan ini perlu diamalkan dan diterapkan kerana kerajaan tidak mahu apa yang berlaku di negara lain terjadi di negara ini.

Ismail Sabri berkata, walaupun kelonggaran telah diberikan seperti boleh beraya bersama, namun orang ramai harus mengambil berat mengenai disiplin untuk mengelakkan himpunan secara beramai-ramai serta bertanggungjawab ke atas keselamatan diri dan keluarga. 

"Untuk menjaga keselamatan, kita perlu mengambil pendirian siapa yang boleh beraya dengan kita. Ini kerana golongan berisiko tinggi adalah warga emas dan kehadiran kita amat membahayakan mereka," katanya. 

Tegas beliau, aktiviti ziarah menziarahi adalah hanya pada hari raya pertama dan rumah terbuka adalah terlarang dalam peraturan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan