EKONOMI

Proton tawar kad minyak percuma kepada pembeli kereta e-hailing

09/05/2020 11:52 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei  -- Proton Holdings Bhd menawarkan kad hadiah minyak Petronas bernilai RM500 kepada pembeli kereta e-panggilan (e-hailing) sebagai langkah untuk mempromosikan penggunaan kereta syarikat itu dalam industri berkenaan.

Dalam kenyataan hari ini, Proton berkata pelanggan yang membeli Proton Persona, Iriz, Exora, Saga atau Proton X70 baharu dari pusat jualan Proton akan ditawarkan dengan kad hadiah itu atau boleh memilih untuk mendapatkan potongan harga dengan nilai yang sama.

“Untuk mendapatkan tawaran ini, pelanggan perlu mengemukakan salinan lesen e-panggilan Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) yang sah sebagai bukti dan mendaftarkan kenderaan tersebut di atas nama mereka sendiri.

“Selain kad hadiah tersebut, potongan harga tambahan turut ditawarkan bagi model terpilih di antara RM300 hingga RM1,500,” katanya.

Menurut Proton, promosi ini akan berlangsung sehingga 31 Disember, 2020 dan turut terbuka untuk individu yang ingin membeli kereta bagi tujuan sama iaitu e-panggilan oleh pemandu yang berbeza.

Pengeluar kereta nasional itu berkata, untuk tujuan itu, Surat Persetujuan yang menyatakan tujuan pembelian, nama penuh, nombor kad pengenalan dan salinan lesen e-panggilan pemandu adalah diperlukan.

“Program ini bertujuan memudahkan mereka yang baharu dalam industri ini untuk membuat keputusan membeli kereta serta bagi pemandu sedia ada yang ingin menggantikan kereta,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi pusat jualan Proton Edar yang terdekat atau e-mel kepada corporatesales@proton.com.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan