AM

Kursus dalam talian percuma kepada pemandu pelancong

27/04/2020 11:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 April -- Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan menawarkan kursus dalam talian secara percuma kepada semua pemandu pelancong yang berhasrat untuk memperbaharui lesen mereka.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof berkata kursus jangka pendek itu membabitkan langkah dan pelan yang boleh diambil oleh pemandu pelancong untuk mempromosikan perkhidmatan pelancongan mereka dengan norma baharu berikutan penularan COVID-19.

“Contohnya, kita akan ajar mereka untuk keluarkan satu video teaser di platform mereka termasuk media sosial menerusi kepakaran bercerita mengenai tempat pelancongan mereka untuk merangsang bakal pelancong datang selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau sekurang-kurangnya diberi kelonggaran selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Promosi Pelancongan Norma Baru Pasca COVID-19’ terbitan Bernama TV, malam ini.

Bagaimanapun, mekanisme dan tarikh kursus dalam talian itu dimulakan, belum ditentukan lagi kerana memerlukan penglibatan beberapa pihak termasuk Institut Latihan pelancongan (ILP) dan persatuan pemandu pelancong.

Sementara itu, Musa berkata pertandingan mencipta video pelancongan dengan tanda #dreamnowtraveltomorrow dilanjutkan sehingga 12 Mei,  selepas mendapat sambutan ramai sepanjang tempoh PKP.

Melalui penciptaan video kreatif menggunakan lagu bertajuk Cuti-cuti Malaysia atau Visit Malaysia Truly Asia itu, orang ramai berpeluang memenangi pelbagai pakej pelancongan di dalam negara dan maklumat lanjut mengenainya boleh didapati di laman web www.malaysia.travel.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan