AM

Logo, nama seakan agensi berita nasional, tiga laporan polis terhadap BermanaMY

21/04/2020 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 21 April  -- Tiga laporan polis dibuat beberapa gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penggunaan logo dan nama hampir menyerupai agensi berita negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) oleh pihak tertentu yang didakwa bertujuan mengelirukan rakyat.

Pengerusi Gabungan NGO Selangor Datuk Nazilah Idris berkata laporan berkenaan dibuat terhadap satu ‘posting’ di akaun Facebook yang disifatkannya mengelirukan rakyat dengan menggunakan logo seakan-akan logo rasmi agensi berita nasional, yang ditukar warna serta nama kepada BermanaMY.

“Mereka setiap hari mengeluarkan posting tidak benar seperti memutarbelitkan kenyataan Menteri.  Perkara ini akan menimbulkan kerisauan dan ketegangan dalam kalangan masyarakat yang akhirnya akan mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Dalam laporan polis itu, Nazilah berkata beliau menemui satu paparan dengan penggunaan gambar Datuk Seri Rina Harun, yang sebelum ini Menteri Pembangunan Luar Bandar, berserta kenyataan yang dipalsukan berhubung bantuan bakul makanan kepada golongan B40 yang akan dicatu sebulan sekali.

 “Hasil carian di Google (enjin carian Internet)  pihak kami, turut mendapati pihak tidak bertanggungjawab atau pemilik akaun mula mengeluarkan posting yang dibuat secara sengaja diputarbelitkan bertujuan mengelirukan rakyat sejak beberapa tahun lepas,” katanya. 

Pada Ahad, tular di media sosial berhubung kewujudan akaun BermanaMY, seolah-olah akaun rasmi BERNAMA, tetapi memaparkan bahan yang dilihat memperlekeh (troll) kenyataan pemimpin dan isu-isu semasa.  

Akaun Twitter rasmi agensi berita nasional adalah BERNAMA@bernamadotcom dan akaun Facebook adalah BERNAMA@bernamaofficial, masing-masing berserta logo rasmi pertubuhan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan