EKONOMI

IMTN terbitan SME Bank dibida lebih 4.5 kali ganda

21/04/2020 05:51 PM

KUALA LUMPUR, 21 April -- Nota kewangan Islam jangka sederhana jaminan kerajaan (IMTN) terbitan SME Bank telah dibida lebih 4.5 kali ganda atau RM2.2 billion daripada jumlah terbitan sebenar berjumlah RM500 juta pada 16 April.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Aria Putera Ismail berkata ia menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kewangan, kehadiran dalam pasaran dan peranan penting yang dimainkan oleh SME Bank dalam membimbing dan membangunkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Penerbitan sukuk bernilai RM500 juta ini telah menarik minat pemain institusi kewangan dan syarikat pengurusan dana/aset,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu dengan turun naik pasaran kewangan yang tinggi, rundingan ini telah berjaya ditutup dengan harga 23 mata asas bagi tempoh lima tahun dan 20 mata asas bagi tempoh tujuh tahun, katanya.

Beliau berkata IMTN itu juga telah diletakkan dengan harga akhir yang kompetitif antara 3.02 peratus dan 3.30 peratus.

Sementara itu, Aria berkata sebagai sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, SME Bank telah melaksanakan beberapa inisiatif seiring dengan langkah kerajaan dalam Pelan Rangsangan Ekonomi bagi membantu menyokong kelangsungan sektor PKS sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga berakhirnya krisis COVID-19 di dalam negara.

Beliau berkata ia termasuk penangguhan secara automatik pembayaran pembiayaan dan menawarkan beberapa pakej pembiayaan di bawah dana Bank Negara Malaysia seperti Kemudahan Bantuan Khas dan Kemudahan Automasi dan Digital.

Sehingga 31 Dis, 2019, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai lebih RM32 billion kepada lebih 17,200 usahawan PKS sejak penubuhannya pada 2005.

Bank itu juga telah dipilih oleh kerajaan untuk menerajui Platform Digital PKS Kebangsaan, yang juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Pelan Pecutan Dua Tahun SME Bank.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan