Oleh NORAZURRA AZIZ
SUNGAI BULOH, 18 April -- Hospital UiTM Sungai Buloh bersama lebih 200 sukarelawan profesional, termasuk doktor dan jurutera, berganding bahu membangunkan prototaip Unit Saringan Massa Mudah Alih (Unit COMBAT) bagi tujuan pengambilan sampel mereka yang disyaki dijangkiti COVID-19.
Menariknya, prototaip Unit COMBAT yang dihasilkan pasukan menggelarkan diri mereka sebagai Doktor & Jurutera Reka Bentuk Menentang COVID-19 (DDEC19MY) ini menggunakan sepenuhnya idea dan kepakaran anak tempatan sebagai satu usaha jitu bagi membasmi wabak COVID-19.
Pengasas Bersama Pasukan COMBAT Dr Anas Mat Asis berkata unit itu merupakan penyelesaian kepada kekurangan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) yang dihadapi petugas barisan hadapan ketika ini serta solutasi kepada pengambilan sampel yang cepat, efisien dan selamat.
"Kami menyediakan kaedah klinikal yang selamat di mana ada pengasingan sepenuhnya di antara petugas penjagaan kesihatan dan juga pesakit. Bila ada pengasingan sepenuhnya, tak perlu pakai PPE sebab kita tahu pemakaian PPE ni materialnya makin lama makin berkurang," katanya kepada Bernama TV ketika menunjukkan prototaip model pertama COMBAT yang diletakkan di Hospital UiTM Sungai Buloh pada Jumaat.
Ujian saringan itu memerlukan orang ramai atau pesakit berdaftar dengan aplikasi atau sistem yang sedang dibangunkan iaitu Unit Combat bagi memudahkan urusan temu janji secara dalam talian pesakit dan kakitangan kesihatan dalam usaha memastikan tiada kontak atau sentuhan antara dua pihak yang boleh menyebabkan "jangkitan silang.”
Apabila pesakit masuk ke dalam ruang disediakan, pintu Unit COMBAT akan tertutup secara automatik bagi mengelak sentuhan sebelum maklumat pesakit disahkan melalui interkom yang disediakan sebelum menjalani ujian saringan tanpa melibatkan sentuhan.
Sampel ujian pesakit akan dipindahkan dari ruang pesakit ke staf kesihatan melalui kotak sampel kedap udara yang disediakan dan setiap kali pesakit keluar selepas melakukan ujian, bilik itu akan disanitasi secara automatik bagi mengelak penyebaran virus.
Dr Anas berkata protaip model pertama COMBAT yang telah siap dibina dan diletakkan di Hospital UiTM Sungai Buloh itu turut dilengkapi kemudahan OKU, pendingin hawa dan sistem komunikasi satelit bagi memastikan setiap data yang diperoleh dapat disalurkan kepada pihak bertanggungjawab seperti Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ia disiapkan dalam tempoh kurang tiga minggu dengan kos yang efektif.
Timbalan Pengarah Hospital UiTM Sungai Buloh Profesor Dr Ahmad Izuanuddin Ismail menzahirkan perasaan bangga dengan penghasilan Unit COMBAT kerana ia merupakan satu idea inovatif tempatan dan dihasilkan oleh alumni UiTM, yang dapat memenuhi keperluan petugas barisan hadapan ketika ini.
Beliau berkata Unit COMBAT juga boleh diubah suai menjadi Bilik Tekanan Negatif pasca COVID-19 bagi merawat pesakit yang mempunyai simptom respiratori dan demam tanpa perlu dibawa ke Jabatan Kecemasan yang boleh menyebabkan risiko jangkitan.
Ia juga boleh diubah suai menjadi klinik serta makmal mini dan masih lagi menunggu kelulusan KKM sebelum boleh digunakan.
Timbalan Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) Dr Azizi Ayob berkata projek membina Unit COMBAT merupakan hasil sumbangan kewangan orang ramai, justeru sumbangan mereka amat berharga untuk pasukan COMBAT membina beberapa unit lagi.
"Setiap Unit COMBAT yang dibina adalah hasil kerjasama pelbagai lapisan sukarelawan hampir 200 orang.
“Sementara itu, I-Medik sebagai badan bukan kerajaan perubatan yang berdaftar, kita memberi perkhidmatan secara sukarela untuk menganjurkan 'pembiayaan orang ramai' dan I-Medik juga bekerjasama dengan agensi seperti MIDA dan MIGHT serta Yayasan Maghfirah sebagai rakan kongsi dan promosi bagi projek COMBAT ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial