KOTA BHARU, 17 April -- Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan memohon orang ramai supaya tidak panik dengan saringan kesihatan terhadap pelajar dan penghuni Pondok Pasir Tumboh di sini, yang dilakukan jabatan itu pada Rabu lepas.
Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata Kementerian Kesihatan telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk mengadakan saringan terhadap beberapa pondok di negeri ini yang dikenal pasti berisiko tinggi.
“Ia merupakan tindakan pencegahan dan kawalan bagi memutuskan rantaian COVID-19, dan pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) oleh petugas kesihatan adalah prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata saringan yang dilaksanakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Bharu itu mendapati 15 pelajar Pondok Pasir Tumboh yang mempunyai gejala suhu badan yang tinggi serta batuk, telah dihantar ke Pusat Kuarantin di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh sebagai langkah berjaga-jaga.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan pondok yang terlibat dalam melaksanakan saringan kesihatan di pondok-pondok yang terpilih di negeri ini kerana memberikan kerjasama dan komitmen tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial