AM

Kajian ubat Tocilizumab rawat COVID-19 sedang dijalankan - KP Kesihatan

12/04/2020 07:17 PM

PUTRAJAYA, 12 April  -- Kajian terhadap ubat Tocilizumab bagi merawat pesakit COVID-19 masih dijalankan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Semasa mengesahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan kajian itu bersama sebuah universiti tempatan, Dr Noor Hisham berkata beliau berharap penyelidikan itu dapat memberi manfaat kepada pihaknya dalam mengekang pandemik COVID-19. 

"Apa yang penting kita kena lihat cara menjalankan penyelidikan itu di empat hospital kalau tak silap saya dan kita harap mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara menjalankan penyelidikan," katanya pada sidang media harian berkaitan COVID-19 di sini, hari ini. 

Sebelum ini, beliau berkata ketiga-tiga ubat iaitu Klorokuin, Hidroksiklorokuin dan kombinasi Lopinavir/Ritonavir sedia ada di Malaysia yang digunakan pihaknya bagi merawat penyakit lain didapati berkesan untuk merawat pesakit positif COVID-19.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama tiga hospital kerajaan iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Jaafar Seremban akan memulakan ujian klinikal bagi mencari penawar COVID-19 pada pertengahan April.

Fokus kajian adalah Tocilizumab yang dipasarkan dengan jenama Actemra.

Dilaporkan, kajian terhadap Tocilizumab yang sebelum ini dijadikan penawar bagi radang sendi atau artritis rheumatoid, akan tertumpu kepada perbandingan Tocilizumab secara intravena dengan dos tinggi corticosteroid pada 300 pesakit teruk COVID-19. 

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan  penghasilan vaksin COVID-19, Dr Noor Hisham berkata ia masih dalam penyelidikan dan dijangka siap dalam tempoh setahun.

"Banyak kajian telah dilaksanakan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan beberapa pertubuhan antarabangsa jadi sama-sama kita harap dapat dipertemukan vaksin dalam tempoh setahun," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan