AM

COVID-19: Tayangan lebih 16 filem antarabangsa di GSC dibatalkan

08/04/2020 02:53 PM

Oleh V.Sankara

KUALA LUMPUR, 8 April -- Lebih 16 filem antarabangsa yang dijadual ditayangkan di Golden Screen Cinemas (GSC) di seluruh negara dibatalkan, susulan penutupan pawagam berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif GSC Sdn Bhd, Koh Mei Lee memberitahu Bernama semua filem itu dijadual ditayangkan sempena edisi ke-19 Festival Filem Perancis bermula 19 Mac hingga 26 April.

Beliau berkata antara filem itu ialah "Spread Your Wings", "The Royal Exchange", "Prince's Voyage" dan banyak lagi.

Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) dalam satu kenyataan akhbar semalam, berkata lebih 37 pawagam yang dikendalikan GSC ditutup sebaik PKP dikuat kuasa pada 18 Mac sehingga akhir April.

Ditanya bagaimana pandemik global itu mempengaruhi perniagaan GSC, Koh berkata tahun ini sangat mencabar kerana kebanyakan filem yang dijadual ditayangkan pada April-Jun ditangguhkan.

Selain itu, bukan mudah mengembalikan keyakinan penonton untuk pergi ke pawagam, selepas krisis kesihatan global yang turut mempengaruhi sikap berbelanja pengguna.

"Namun, kami tetap optimis, pengguna akan kembali mengunjungi pawagam untuk menikmati pengalaman menonton filem yang lebih mengasyikkan sekaligus membantu kami mengatasi kerugian yang dialami dalam tempoh ini," katanya.

Festival Filem Perancis 2020 sepatutnya diadakan di empat bandar raya iaitu Kuala Lumpur (19 Mac hingga 5 April), Pulau Pinang (9-19 April), Johor Baharu (16-19 April) dan Kota Kinabalu (23-26 April).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan