KUALA LUMPUR, 7 April -- Plus Solar, penyedia penyelesaian tenaga boleh baharu di negara ini meraih perolehan sebanyak RM150 juta bagi tahun kewangan berakhir Mac 2020, iaitu lonjakan sebanyak 134 peratus berbanding perolehan RM64 juta pada 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Plus Solar, Ko Chuan Zhen berkata, kesedaran yang meningkat terutamanya dalam kalangan pengilang telah menyaksikan banyak tenaga solar digunakan berikutan mereka menyedari bahawa penjimatan kos akan menghasilkan aliran tunai yang lebih baik.
“Kami juga bekerjasama rapat dengan institusi kewangan untuk menawarkan skim pembayaran semula yang menarik sehingga mewujudkan perniagaan dan kewangan yang baik kepada syarikat untuk menggunakan tenaga yang bersih”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Syarikat itu juga telah mengalami pertumbuhan tahun ke tahun yang luar biasa, dipacu oleh permintaan pasaran yang kukuh daripada sektor pembuatan, komersial dan industri, yang mewakili hampir separuh daripada perniagaan Plus Solar.
Penyumbang kepada lonjakan perolehan itu adalah pelaksanaan projek solar berskala besar (LSS) yang menyumbang 50 peratus kepada pertumbuhan perolehan.
Sebagai penyedia perkhidmatan Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pengoperasian (EPCC), Plus Solar berkata projek LSS yang disiapkan oleh syarikat itu mampu menghidup kuasa 3.57 juta rumah setahun untuk tempoh melebihi 21 tahun sambil mengurangkan pelepasan CO2 kepada 37,171.58 tC02e setahun.
Mengenai keadaan semasa pasaran, Ko berkata pandemik COVID-19 yang masih berlarutan telah menjejaskan keseluruhan industri.
“Memandangkan kesemua perniagaan berusaha keras untuk kekal bertahan - kebimbangan utama ialah mengekalkan hasil kasar; perolehan dan jualan mereka. Walaupun mereka mungkin tidak dapat mengawal ketidaktentuan yang berlaku dalam industri masing-masing, mereka harus melihat kepada pengurangan keuntungan-perbelanjaan.
“Ini sesuatu yang perlu difikirkan semula oleh perniagaan. Elektrik kekal sebagai antara tiga perbelanjaan utama bagi kebanyakan perniagaan. Dalam hal ini, tenaga solar telah membuktikan ia sebagai penyumbang sebenar kepada penjimatan cekap kos di mana pelaburan boleh diperoleh semula dalam tempoh tiga hingga empat tahun selain mengurangkan kos operasi sehingga 50 peratus,” kata beliau.
Menurut Ko, Plus Solar bersedia membantu sektor pembuatan, komersial dan industri serta pemilik perniagaan yang berminat untuk memaksimumkan penjimatan keuntungan dengan mengenal pasti masalah dari segi tenaga yang boleh disalurkan secara lebih baik dan bagaimana penjimatan kos itu dapat dilaksanakan.
“Kebanyakan pemilik perniagaan tidak dapat meraih pulangan pelaburan dalam penyelesaian solar, dan di sinilah kami bersedia mendidik mereka dan berkongsi kedua-dua bidang teknikal solar untuk perniagaan mereka dan pulangannya, selain pakej kewangan yang mampu milik. Oleh itu, mereka boleh mendapat akses untuk mengurangkan keuntungan mereka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial