KUALA LUMPUR, 30 Mac -- Prof Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Rashdan Baba yang meninggal dunia hari ini pada usia 85 tahun telah memberi sumbangan besar kepada pertumbuhan industri telekomunikasi dan ekonomi, kata pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM), Rosli Man.
Selain menjadi ahli akademik yang tersohor, Mohd Rashdan pernah menjadi pengerusi TM selama 12 tahun - dari 1 November, 1985 hingga 30 November, 1997.
Rosli berkata beliau memainkan peranan penting dalam membina asas untuk menjadikan TM sebagai konglomerat dalam industri telekomunikasi.
"Kami benar-benar sedih dengan pemergian Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba pada awal pagi ini. Allahyarham Mohd Rashdan seorang warga TM yang berdedikasi dan komited ketika beliau memimpin syarikat pada waktu awal penswastaannya, ketika itu beliau adalah pengerusi eksekutif TM," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami berterima kasih kepadanya cukup terhadap semua yang telah dilakukannya untuk TM, ia lebih menyentuh perasaan kami apabila beliau terus memberi sokongan kepada TM dan terus berhubung dengan syarikat dengan menghadiri acara korporat kami, " katanya.
Mohd Rashdan meninggal dunia pada pukul 6.59 pagi di Hospital Ampang Puteri. Jenazahnya dibawa ke Masjid Taman Tun Dr Ismail untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Allahyarham meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Datin Dr Rayslida manakala isterinya, Puan Sri Robiyah Abdul Majid telah pun meninggal dunia beberapa tahun yang lepas.
Rosli, bagi pihak ahli lembaga pengarah, pengurusan dan warga TM (pekerja), mengucapkan takziah dan simpati kepada Datin Dr Rayslida dan keluarga atas pemergian Allahyarham Mohd Rashdan.
"Kami berdoa semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Semoga Allah SWT merahmati rohnya. Al-Fatihah. Aamiin,” kata Rosli.
Dalam bidang pendidikan, Mohd Rashdan dilantik sebagai Naib Canselor pertama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari 1 September, 1969 hingga 31 Mac, 1971, dan seterusnya menjadi Naib Canselor Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia ) (UPM) yang pertama, dari tahun 1971 hingga 1982.
Ikon pendidikan kelahiran Rembau itu telah dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus oleh UPM pada 14 Ogos 1982, dan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang UKM pada 3 Julai, 1999.
Beliau juga telah menerima menerima Ijazah Kehormat Kedoktoran Sains dari University of Reading pada 1986 dan Kedoktoran Undang-undang dari University of Leeds, United Kingdom pada 1989.
Pada tahun 2013, beliau adalah penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial