KUALA LUMPUR, 23 Mac -- My E.G Services Bhd (MyEG) sedia untuk menawarkan kit ujian pantas COVID-19 yang sedang menunggu kelulusan daripada kerajaan.
Syarikat itu berkata kit berkenaan telah memenuhi keperluan pengawalseliaan di Amerika Syarikat (AS) sekali gus dibenarkan bagi penjualan di sana.
MyEG berkata kit tersebut, dibangunkan oleh syarikat bioperubatan China terkemuka, telah layak bagi kebenaran untuk kegunaan kecemasan yang diberikan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (USFDA) mengikut dasar mempercepat pengesanan dan diagnosis semasa kecemasan kesihatan awam.
“Pemberian kebenaran oleh USFDA bagi kit ujian itu merupakan tambahan kepada tanda European CE (bermaksud ia telah memenuhi piawaian Eropah), yang mengesahkan kesesuaian dengan piawaian perlindungan kesihatan, keselamatan dan persekitaran, yang diperoleh lebih awal.
"Kit ujian pantas itu sedang menunggu kelulusan dan pensijilan oleh Kementerian Kesihatan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
MyEG berkata penerimaan kit ujian itu di seluruh dunia, termasuk rantau utama seperti AS dan Eropah, adalah tepat pada masanya ketika dunia semakin mengakui perlunya kapasiti pengesanan yang lebih pantas dan luas dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Kit ujian tersebut membolehkan pengesanan awal COVID-19 melalui penggunaan sampel darah yang diperolehi daripada cucukan pada jari, khususnya dengan mengesan kehadiran antibodi.
Keputusan ujian dihasilkan di lapangan dalam beberapa minit, tanpa perlu penghantaran sampel kepada makmal diagnostik luar yang mengambil masa lebih panjang.
MyEG yakin kit itu merupakan pilihan yang senang didapati dan ditawarkan pada harga berpatutan untuk meningkatkan pengujian dan pengesanan awal dalam kalangan rakyat Malaysia memandangkan ia mudah digunakan.
Ia sekali gus dapat menambah baik kapasiti pengujian dalam negara dan mengurangkan kekangan yang dihadapi di kemudahan kesihatan awam sedia ada, menurut syarikat itu.
MyEG, syarikat berstatus MSC yang disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd, adalah penyedia perkhidmatan e-kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial