SUKAN

MPM sambut baik penangguhan APG 2020 Ke Oktober

17/03/2020 11:00 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik keputusan Persekutuan Sukan Para Asean (APSF) untuk menangguhkan Sukan Para ASEAN (APG) 2020 kepada 3 hingga 10 Okt.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata ia adalah langkah paling baik yang secara tidak langsung memberi ruang dan masa kepada tuan rumah, Filipina, untuk membuat persiapan lebih rapi dalam menganjurkan edisi ke-10 temasya itu.

“Kita akan memanfaatkan keputusan ini untuk mengadakan lebih banyak perbincangan dalam memperhalusi beberapa perkara penting melibatkan keselamatan kontinjen Malaysia bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara.

“Kami juga menghormati dan akur dengan keputusan Singapura untuk menarik diri daripada temasya kali ini kerana khuatir dengan penularan COVID-19 yang makin berleluasa. Keputusan itu langsung tidak akan mematahkan semangat kami untuk mengambil bahagian dalam APG,” menurutnya dalam satu kenyataan.

APG sepatutnya diadakan pada 18 hingga 24 Jan lepas namun ditangguhkan kepada 20 hingga 28 Mac disebabkan kekangan kewangan dan masalah logistik yang dihadapi penganjur, sebelum ditangguhkan sekali lagi ekoran penularan wabak COVID-19.

Penganjur sebelum ini memberi cadangan untuk menganjurkan temasya itu pada 26 Mei hingga 2 Jun, iaitu hampir dengan sambutan Aidilfitri (23-24 Mei) namun ditolak oleh Malaysia dan beberapa negara lain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan