AM

COVID-19 : Perintah Kawalan Pergerakan bukan perintah berkurung - KPN

17/03/2020 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac -- Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah bukan Perintah Berkurung, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan adalah demi untuk keselamatan negara dan orang ramai.

“Saya ingin menjelaskan bahawa kerajaan dalam usaha untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan yang bersabit Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit yang akan berkuat kuasa pada tengah malam ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta tidak menyebarkan berita yang tidak pasti kesahihannya atau berita palsu yang menimbulkan keresahan dan kerisauan melampau (Perintah Kawalan Pergerakan yang menyamakannya sebagai Perintah Berkurung),” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata pembelian panik tidak seharusnya berlaku kerana Perdana Menteri telah memberi jaminan bahawa bekalan masih mencukupi dan ia tidak sama seperti perintah berkurung yang tidak membenarkan rakyat keluar langsung. 

Abdul Hamid berkata dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan, pihaknya akan melaksanakan tanggungjawab di bawah Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 iaitu memberi apa-apa bantuan yang diminta oleh pegawai (agensi kerajaan) yang diberi kuasa.

Selain itu, Seksyen 20 Akta Polis 1967 iaitu melaksanakan tugas dan menjalankan kuasa yang dipertanggungjawabkan atau diberikan oleh undang-undang ke atas seorang pegawai polis.

“Perlu diingatkan bahawa sebarang bentuk pelanggaran di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada tengah malam ini (18 Mac 2020) sehingga 31 Mac 2020, boleh menjadi kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan.

Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan kerja-kerja jawatannya, Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari perintah yang diisytiharkan oleh penjawat awam, Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan Seksyen 271 Kanun Keseksaan iaitu mengingkari aturan kuarantin,” katanya.

Beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab polis untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19 dengan mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan.

Abdul Hamid menjelaskan mana-mana individu atau premis yang ingkar dengan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan.

“Ini termasuklah majikan yang membenarkan pekerja mereka bekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dan mana-mana premis hiburan kelab malam di seluruh negara juga harus ditutup.

“Oleh itu, saya menyeru (memaklumkan) kepada orang ramai, ini bukan perintah berkurung yang mana boleh menyebabkan orang ramai dikenakan sekatan untuk keluar dari rumah,” katanya.

Beliau juga menjelaskan bahawa pengumuman kedai-kedai runcit, pasar raya, restoran masih dibuka tetapi tidak boleh makan di sana.

“Ia cukup jelas sekali maknanya. Tidak akan tersekat kehendak orang ramai untuk membeli barangan keperluan. Saya berharap dalam tempoh terdekat ini, Majlis Keselamatan Negara akan memberikan banyak penjelasan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.

“Bagi kami, ini adalah untuk mengawal pergerakan orang ramai dari satu negeri ke satu negeri atau dari daerah ke daerah lain. Perintah Kawalan Pergerakan ini amat diperlukan untuk menyekat penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Abdul Hamid menjelaskan bahawa penugasan polis masih berjalan seperti biasa di seluruh negara meskipun Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

“Dalam tempoh ini (Perintah Kawalan Pergerakan) bilangan pegawai dan anggota polis yang ditugaskan  untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan adalah mencukupi,” katanya.

Selain itu, Abdul Hamid berkata kaunter bayaran saman serta permohonan lesen di setiap balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh negara ditutup sebagai langkah mencegah jangkitan COVID-19.

“Orang ramai yang ingin membayar saman atau ingin memohon lesen boleh melakukannya secara dalam talian atau berkomunikasi dengan pegawai polis untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan