AM

Saya masih lagi Nancy yang sama - Nancy Shukri

11/03/2020 11:40 AM

KUCHING, 9 Mac -- Ahli Parlimen Batang Sadong Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pelantikan beliau sebagai menteri di peringkat persekutuan yang diumumkan hari ini, tidak akan mengurangkan komitmennya terhadap pengundi yang memilih beliau sebagai Ahli Dewan Rakyat, sejak tiga penggal lepas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat malam ini, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, atas kepercayaan melantik beliau sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.

“Kepada pengundi-pengundi saya di Batang Sadong, saya masih Nancy Shukri yang anda kenal dan akan terus berkhidmat kepada anda, sebagai Ahli Parlimen Batang Sadong,” katanya.

Dengan pelantikan itu, beliau berazam untuk menampilkan penyelesaian berkesan dan langkah ekonomi jangka panjang, untuk menguruskan pelancongan negara yang kini berhadapan cabaran getir.

“Saya percaya ekonomi negara cukup berdaya tahan untuk mendepani cabaran-cabaran ini, dan dengan barisan Kabinet baharu ini, kami akan mengambil kesempatan terhadap semua peluang yang ada, untuk bertahan melalui krisis ini,” tambahnya.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Dr Noor Zari Hamat dalam kenyataan kepada Bernama menyifatkan pelantikan Nancy sebagai peneraju baharu kementerian itu adalah tepat dan seiring, dengan keperluan industri itu.

“Pemilihan dan pelantikan beliau amat bertepatan, kerana negara memerlukan pemimpin berkarisma dan berdedikasi untuk memacu sektor pelancongan, kesenian dan kebudayaan, sebagai pemangkin pertumbuhan sosio  ekonomi yang mampan serta memperkasa, memelihara dan memulihara seni, budaya  dan warisan negara.

“Kredibiliti, kepimpimpinan dan pengalaman luas beliau pastinya, dapat merangka pelan tindakan strategik dan hala tuju pembangunan pelancongan, kesenian dan kebudayaan negara, yang komprehensif dan berdaya maju,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan