LABUAN, 4 Mac -- Peniaga di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Labuan kini boleh menarik nafas lega apabila pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan (LC) menawarkan diskaun sebanyak 50 peratus untuk sewa bulanan bagi semua premis yang dipajak di bangunan UTC itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LC Dr Fary Akmal Osman berkata langkah tersebut merupakan antara inisiatif yang diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi peniaga (berikutan jumlah pelanggan yang rendah), selain meningkatkan kesejahteraan rakyat berikutan ekonomi semasa yang lembap.
"Diskaun itu ditawarkan kepada semua 163 peniaga yang menyewa premis di bangunan itu antara RM310 dan RM400 sebulan…dan diskaun ini untuk tempoh setahun dari April hingga Mac 2021,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata Perbadanan Labuan komited untuk membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya mereka yang menjalankan perniagaan, dan diskaun itu diberikan berikutan rayuan daripada peniaga, dan sejajar dengan pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan baru-baru ini.
Dr Fary berkata Perbadanan Labuan turut memberikan diskaun sewa itu kepada penyewa Perumahan Mesra Rakyat di Kampung Sungai Bangat hingga akhir tahun.
Penyewa di kawasan kediaman itu kini membayar sewa bulanan yang telah diberi diskaun antara RM180 dan RM250.
Diskaun sewa itu, yang sepatutnya tamat pada Februari, akan dilanjutkan hingga 31 Dis tahun ini untuk mengurangkan beban kewangan yang dihadapi penyewa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial