AM

MUAFAKAT NASIONAL CADANG BUBAR PARLIMEN, TARIK BALIK SD SOKONG DR M

26/02/2020 09:39 AM

KUALA LUMPUR, 25 Feb -- Muafakat Nasional hari ini mempersembahkan syor kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen dibubarkan dan pilihan raya diadakan berikutan situasi semasa politik negara.

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata keputusan itu dicapai hasil pendirian bersama blok parti politik itu yang terdiri daripada UMNO, PAS, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata pembubaran itu perlu dilakukan supaya mandat dapat dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya umum.

“Ini bagi mengelakkan telahan negatif daripada timbul, kita merasakan tidak adil kepada rakyat kalau sekiranya berlaku sebarang usaha pembentukan kerajaan yang lari daripada prinsip amalan demokrasi berparlimen,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MIC M. Saravanan dan Timbalan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup.

Terdahulu, beliau berkata pucuk pimpinan parti telah menerima cadangan daripada Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan kerajaan perpaduan namun ia tidak dipersetujui.

“Kalau ia benar berlaku (kerajaan perpaduan) maka secara prinsipnya ia banyak bercanggah dengan dasar-dasar yang ditetapkan parti-parti kami yakni apa-apa perkiraan membentuk kerajaan ia mestilah berdasarkan parti bukan individu.

“Pembentukan kerajaan perpaduan itu dikatakan memilih individu-individu dan bukan parti dalam membentuk kabinet,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Annuar juga berkata pihaknya menolak Akuan Bersumpah (SD)  yang telah ditandatangani blok pembangkang berikutan cadangan Dr Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Sokongan membentuk kerajaan alternatif  yang kita berikan kepada Dr Mahathir ditarik balik kerana ia terhad kepada kerajaan baharu tanpa DAP, maka SD terpaksa ditarik balik,” katanya.

Annuar turut berkata secara prinsipnya Muafakat Nasional sedia menyokong Dr Mahathir sekiranya beliau membentuk satu gabungan baharu tanpa melibatkan parti DAP.

“Pada Ahad lalu, presiden-presiden parti telah menghadap (Yang di-Pertuan) Agong setelah dimaklumkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang. Mereka telah menyampaikan deklarasi menyatakan bersedia menyokong Tun M sekiranya satu gabungan baharu dibentuk dengan syarat tidak melibatkan DAP,” katanya.

Muafakat Nasional tidak boleh bersekongkol dengan DAP kerana tidak mahu menjadi hipokrit.

“Kita belajar daripada sejarah, PH tumbang kerana ada pihak dalam gabungan itu yang hipokrit. Akhirnya rakyat yang menjadi mangsa,” jelasnya.

Dalam pada itu ketika ditanya sama ada pakatan pembangkang mengadakan rundingan dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini susulan keretakan kerajaan PH, Annuar berkata perkara itu tidak pernah berlaku.

Sementara itu, Takiyuddin menjelaskan tidak wujud unsur ‘hijacking’ (merampas) kerajaan PH dengan Muafakat Nasional bekerjasama dengan parti-parti politik lain bagi membentuk kerajaan yang baharu.

“Kami datang selepas kerajaan PH tumbang, tujuannya, kami sebagai Ahli Parlimen blok pembangkang kita mempunyai tanggungjawab kepada pengundi untuk cuba melakukan pembetulan bagi memulihkan keadaan negara yang sudah huru-hara,” katanya.

Takiyuddin turut berkata pada peringkat awal Muafakat Nasional telah mendapat lebih 130 kerusi Parlimen termasuk dengan blok pembangkang lain dan dalam proses terakhir untuk memeteraikan satu pakatan baharu yang dinamakan Perikatan Nasional.

Bagaimanapun, katanya apa yang dirancang itu tidak kesampaian berikutan SD telah ditarik balik susulan cadangan Dr Mahathir menubuhkan kerajaan perpaduan. 

Kemelut politik negara tercetus selepas kerajaan PH tumbang dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan