AM

Bayi sembilan bulan maut tertinggal dalam kereta

17/02/2020 08:56 PM

KUANTAN, 17 Feb  -- Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut, dipercayai selepas bapanya terlupa mangsa berada dalam kereta semasa keluar bekerja di Kompleks Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa ditemukan bapanya yang berusia 38 tahun dalam keadaan terbaring di kerusi bayi di tempat duduk belakang kereta semasa hendak keluar makan tengah hari. 

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik (semuanya perempuan), iaitu berusia enam dan 10 tahun dipercayai telah berada dalam kereta jenis Perodua Alza dari 9 pagi hingga 1 tengah hari. 

"Siasatan awal mendapati bapa mangsa seharusnya menghantarnya ke sebuah taska di Indera Mahkota 15 selepas menghantar isterinya ke tempat kerja berhampiran, namun terlupa untuk berbuat demikian. 

"Bapa mangsa sebelum itu turut menghantar anak sulungnya ke sebuah sekolah rendah pada 7.20 pagi dan kembali ke rumah untuk mengambil isteri, anak kedua dan mangsa sebelum keluar semula pada 8.25 pagi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Mohamad Noor berkata anak kedua mangsa juga dihantar ke sekolah yang sama dengan anak sulung pasangan itu, namun dihantar agak lewat berbanding kakaknya. 

Sebaik sahaja melihat mangsa dalam keadaan lemah, bapa mangsa telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Indera Mahkota, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 

Ibu bapa mangsa merupakan penjawat awam dan bekerja di Indera Mahkota. 

Mohamad Noor berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan