AM

TUANKU MUHRIZ SEMPURNAKAN MAJLIS PENUTUP TILAWAH, HAFAZ AL-QURAN PERINGKAT NEGERI SEMBILAN

08/02/2020 12:46 AM

SEREMBAN, 7 Feb -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir malam ini berkenan menyempurnakan majlis penutup Tilawah dan Menghafaz al-Quran peringkat negeri di sini.

Ketibaan baginda dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud pada pukul 9 malam di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi, diiringi Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Turut hadir, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta barisan Exco kerajaan negeri.

Pada majlis berkenaan, Muhammad Amir Haziq Azis dari Maahad Ahmadi, Gemencheh dan johan menunggu 2019 Athirah Azraie diumumkan sebagai Qari dan Qariah Tilawah al-Quran bagi kategori remaja lelaki dan perempuan.

Muhammad Amir dan Athirah membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan hadiah iringan serta sijil penyertaan.

Qari dan Qariah Tilawah al-Quran bagi kategori dewasa lelaki dan perempuan pula dimenangi johan menunggu 2019 Mohamad Husaini Mahmur dan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (USIM) Nur Natasha Azeze Shariman Azeze. Mereka membawa membawa pulang wang tunai RM,5000, pakej menunaikan ibadah haji bernilai RM12,000, sijil, piala dan hadiah iringan.

Kesemua Qari dan Qariah akan mewakili Negeri Sembilan ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah pada 14 hingga 21 Feb ini.

Sementara itu, pertandingan Menghafaz al-Quran bagi kategori juzuk 1-30 pula, masing-masing dimenangi oleh Muhammad Hafiz Abd Razak dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab, Gemencheh dan Siti Najihah Zamri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang masing-masing menerima wang tunai RM5,000, pakej menunaikan ibadah haji RM12,000, piala dan hadiah iringan serta sijil penyertaan.

Bagi kategori juzuk 1-20 pula dimenangi dua pelajar MRSM Ulul Albab iaitu Muhammad Luqman Danial Zaid dan Auni Nasuha Md Noh yang membawa pulang wang tunai RM4,000, piala dan hadiah iringan serta sijil penyertaan.

Dalam kategori juzuk 1-10, Ahmad Muhammad Mujaddid Izhari dari Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Gemencheh dan Masyithah Mohd Farid dari Universiti Malaya. Mereka membawa pulang wang tunai RM3,000, piala dan hadiah iringan serta sijil penyertaan.

Tuanku Muhriz dan Tuanku Aishah Rohani berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan