AM

Kawasan bendang berubah wajah, dipenuhi aktiviti bermain wau

02/02/2020 05:35 PM

LANGKAWI, 1 Feb  -- Apabila selesai musim menuai padi, suasana bendang di Kampung Ewa di sini bertukar menjadi kawasan yang meriah dengan aktiviti menaikkan wau di kawasan sawah yang kering oleh penduduk setempat.

Sejak pertengahan Januari lalu keadaan tanah bendang yang kering menjadikan aktiviti menaikkan wau  lebih menarik ditambah dengan cuaca berangin berikutan musim angin timur.

Seorang penduduk kampung, Bashol Bahrin, 64, berkata  menjadi rutin buat dirinya bersama anak dan cucu untuk meluangkan masa bermain wau yang dihasilkan sendiri di lokasi tersebut.

"Apabila tiba musim angin timur bermula awal Januari hingga April, keadaan berangin memudahkan wau untuk dinaikkan. Hampir setiap pagi dan petang sekiranya ada angin, kawasan bendang ini akan dipenuhi penduduk kampung yang mencuba kepakaran masing-masing menaikkan wau.

"Saya sendiri hasilkan tiga atau empat wau setiap tahun, ada juga wau yang dibuat tahun lalu masih dalam keadaan baik dan dapat dinaikkan tahun ini. Antara wau yang saya buat ialah wau bulan dan wau camar," katanya kepada Bernama.

Bagi Harun Shadad, 50, yang sering menjadi rujukan untuk menghasilkan wau di Kampung Ewa berkata dia membantu menghasilkan pelbagai jenis wau sejak belasan tahun lalu atas semangat gotong-royong bersama penduduk kampung.

"Setiap kali musim angin timur antara wau yang akan dinaikkan penduduk di kawasan bendang ialah wau camar, wau merak, wau bulan, wau kubong, wau layang dan tahun ini kami ada hasilkan satu lagi iaitu wau kapal terbang. 

“Wau paling kecil berukuran 1.2 meter (empat kaki) manakala paling besar 3.65 meter (12 kaki). Harga untuk wau paling kecil berharga sekitar RM20 boleh disiapkan dalam tempoh masa enam jam manakala wau paling besar yang bernilai kira-kira RM300 mengambil masa seminggu untuk disiapkan," kata peniaga ini.

Melihat kepada sambutan serta minat yang baik terhadap permainan wau pada setiap musim angin timur, Harun atau dikenali sebagai Pak Tam berkata penduduk akan menganjurkan Pesta Wau dan Kenduri Santai Kariah Ewa di kawasan bendang Kampung Ewa bermula 8 pagi hingga 5 petang pada Sabtu depan (8 Februari).

"Program dianjurkan melibatkan kariah dari Teluk Yu hingga Kampung Kubang Badak menggunakan konsep gotong royong. 

"Menerusi penganjuran program ini kita dapat eratkan silaturahim antara penduduk serta nak tarik golongan muda supaya mereka lebih dekat dengan aktiviti bermanfaat ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan