AM

KDN PERCAYA KEWAJARAN PERLUAS SEKATAN KEMASUKAN PELANCONG CHINA AKAN DITELITI

01/02/2020 12:06 AM

MUAR, 31 Jan -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) percaya jawatankuasa mengenai jangkitan 2019 novel koronavirus akan meneliti kewajaran untuk memperluaskan lagi sekatan terhadap kemasukan pelawat China ke negara ini selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan bahawa jangkitan koronavirus sebagai darurat kesihatan global.     

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sementara jawatankuasa yang diterajui Kementerian Kesihatan meneliti kewajaran itu, kerajaan akan mengekalkan status sekatan lawatan sedia ada iaitu terhadap  pelancong dari Wuhan dan Hubei sahaja. 

“Apapun, jawatankuasa dan Kementerian Kesihatan saya fikir boleh meneliti (kewajaran) dan jika dia (jawatankuasa) kata perlu untuk kita (kerajaan) perluaskan lagi dan dipersetujui kabinet atau diterima maka ini akan kita laksanakan.

 Sementara ini, kita kekalkan dengan status terdahulu (mengadakan sekatan kemasukan terhadap pelancong dari Wuhan dan Hubei sahaja),” katanya kepada media selepas Majlis Perjumpaan Khas Pemimpin Bersama Pimpinan Cawangan, Srikandi Cawangan dan Armada Cawangan di Dewan Serbaguna Pagoh, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas pengumuman Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Ghebreyesus, hari ini bahawa jangkitan koronavirus yang telah mengakibatkan kematian 170 orang di China sebagai darurat kesihatan global apabila telah merebak ke 18 buah negara.

Di Malaysia, terdapat lapan kes positif dilaporkan setakat semalam dengan kesemuanya adalah membabitkan warganegara China.  

Mengulas mengenai tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan keputusan mahkamah menolak beberapa siri tawaran jaminan terhadap suspek kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pula, Muhyiddin berkata keputusan mahkamah itu harus dihormati. 

“Apa sahaja yang diputuskan oleh mahkamah, itu tidak ada campur tangan daripada kerajaan. Dia (keputusan) sudah diperhalusi dan mahkamah buat keputusan atas dasar-dasar perundangan,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan