SUKAN

TFC II sasar tiga kelompok terbaik Liga Premier 2020

27/01/2020 09:53 AM

KUALA TERENGGANU, 27 Jan -- Terengganu FC ll (TFC ll) meletakkan sasaran untuk berada di kelompok tiga pasukan terbaik Liga Premier 2020 selain mara ke peringkat akhir Piala Cabaran musim ini.

Jurulatihnya Rashadi Wahab berkata cabaran musim ini lebih getir dengan penyertaan dua pasukan baharu, iaitu Selangor ll dan Perak ll tetapi beliau yakin pasukan bimbingannya sudah lengkap dibentuk dan mampu mencapai sasaran itu.

Justeru, Roshadi yang juga bekas pemain bola sepak Terengganu menuntut agar pemainnya menunjukkan komitmen tinggi serta bekerja keras dari awal bagi memastikan sasaran itu dapat dicapai dan bukannya sekadar cakap kosong.

"Musim lalu kita sasarkan untuk berada di kelompok empat terbaik, tetapi tahun ini kita naikkan lagi supaya pemain-pemain lebih bermotivasi dan bekerja keras.

Kita jangka cabaran tahun ini pastinya lebih hebat dengan kemasukan Selangor ll dan Perak ll, tetapi ia adalah perkembangan yang baik dan persaingan yang sihat bagi semua pasukan bertanding," katanya selepas perlawanan persahabatan dengan pasukan Madura United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Pada perlawanan itu, TFC ll tewas 1-2 kepada Madura United.

TFC ll menamatkan Liga Premier musim 2019 di kedudukan kelima selain mara ke peringkat akhir Piala Cabaran.

Ketika ditanya mengenai prestasi penyerang import baharunya, Jordan Mintah, Roshadi berkata beliau berpuas hati dengan perkembangan pemain yang dilihat sentiasa mempamerkan peningkatan dari semasa ke semasa.

Selain itu persefahaman dan keserasian antara pemain baharu serta pemain lama juga sudah berjaya dibentuk walaupun belum mencapai tahap 100 peratus.

"Mintah dalam beberapa perlawanan persahabatan belum lagi menjaringkan gol, tetapi membantu serta hantaran yang diberi kepada Bruno (Bruno Suzuki) nampaknya menjadi dan ia adalah satu perkembangan yang baik.

Kita ada beberapa lagi siri perlawanan persahabatan  bulan depan sebelum masuk musim liga. Platform ini kita akan gunakan untuk meningkatkan lagi keserasian dan memperbaiki kelemahan yang ada," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan