GEORGE TOWN, 25 Jan -- Biarpun sudah menjadi mualaf ,ia tidak sesekali menjadi penghalang buat penceramah bebas, Ben Ooi Chooi Beng,38, untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama ahli keluarganya dalam suasana meriah sama seperti sebelum beliau memeluk agama Islam tiga tahun lepas.
Pemuda itu yang mesra disapa Ben berkata beliau dan isterinya Ema Ariani,43,berasal dari Indonesia sebelum ini menganut agama Kristian tidak pernah lupa untuk meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarganya kerana ia adalah satu perayaan adat menurut masyarakat Tionghua dan bukan keagamaan.
"Walaupun saya baru memeluk agama Islam, tapi saya masih bangsa Cina dan ukhuwah bersama ahli keluarga masih terjalin seperti biasa malah lebih erat lagipun saya masuk Islam bukannya masuk Melayu... saya tak boleh ubah kenyataan itu.
"Jadi setiap kali Tahun Baru Cina saya akan datang ke rumah abang (Ooi Chooi Leong,44) di Bayan Lepas untuk bersama-sama meraikan bersama ahli keluarga yang lain termasuk ayah dan ibu kami," katanya ketika ditemui Bernama di rumah abangnya,dekat sini hari ini.
Katanya ayah Ooi Keat How,76, dan emak, Loh Nget Sun,73, tinggal bersamanya di Bukit Mertajam, dekat sini dan mereka akan makan besar pada petang sebelum sambutan Tahun Baru Cina di rumah abangnya itu seterusnya meraikan perayaan itu dengan mengunjungi saudara mara serta rakan-rakan masyarakat Tionghua.
Ben yang mempunyai tiga anak berusia lapan hingga 15 tahun berkata ibu bapanya tidak pernah menghalang beliau bertukar agama malah sentiasa memberikan dorongan supaya menjadi seorang Islam yang terbaik.
"Selain Tahun Baru Cina,keluarga saya turut menyambut Krimas kerana semua mereka merupakan penganut agama kristian namun mereka tahu batas saya sebagai seorang muslim termasuk dalam penyediaan makanan iaitu halal dan haram.
"Setiap kali perayaan abang akan masak untuk semua ahli keluarga tapi dia akan belikan makanan halal dari luar untuk saya dan keluarga,selepas itu kami akan makan bersama.Kami jarang berjumpa kerana kekangan kerja jadi ketika sambutan Tahun Baru Cina adalah peluang keemasan untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga," katanya anak bongsu tiga beradik itu.
Katanya beliau gembira dan bersyukur kerana semua ahli keluarganya dapat menerima dengan baik walaupun berlainan agama malah sangat menghormati keluarganya sebagai seorang muslim termasuk menyediakan bilik khas untuk mereka bersolat jika ke rumah abang atau kakaknya, Ooi Kim Suan,47.
Ben berkata apa paling mengembirakannya adalah apabila tibanya perayaan Hari Raya Aidilfitri, semua ahli keluarganya akan datang ke rumahnya untuk bersama-sama meraikannya.
"Alhamdulilah, mereka juga setiap tahun teruja untuk menyambut hari raya bersama-sama keluarga saya, semua akan datang ke rumah saya dan kami menjamu selera malah mereka sangat suka masakan ketika raya.Saya harap setiap tahun kami dapat meraikan bersama-sama dengan penuh kegembiraan serta kesyukuran," katanya.
Ben mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan iaitu Gabriel Ooi Wei Sheng,15, Joshua Ooi Shan,11, serta Angelina Ooi Wei Ting, lapan tahun.
Sementara itu,ayah Ben, Keat Hoe berkata sebaik dimaklumkan anaknya mahu menukar agama kepada agama Islam beliau hanya berpesan kepadanya jika mahu menjadi orang Islam perlu jadi seorang muslim yang benar-benar mengikuti ajaran Islam.
"Kita bersyukur walaupun dia(Ben) agama lain tapi kita faham, bila dia mau tukar agama dia ada tanya saya jadi saya bagitahu Ben kalau mau jadi orang Islam kena jadi betul-betul.. hubungan kami sampai bila-bila tidak akan putus seperti pepatah Melayu, air dicincang tidak akan putus," katanya.
Ibu Ben, Nget Sun pula berkata anak bongsunya itu seorang yang baik malah tidak pernah melupakan ahli keluarga yang berlainan agama malah sangat menghormati dia dan suami serta abang dan kakaknya.
"Macam kami Cina, kita mahu raikan Tahun Baru Cina dengan anak-anak dan ahli keluarga yang lain.. Ben tak pernah lupa balik rumah abangnya untuk sambut (Tahun Baru Cina) bersama yang lain," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial