AM

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA KOMITED PACU PERUBAHAN MASYARAKAT ORANG ASLI

25/01/2020 01:10 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jan -- Kementerian Sumber Manusia komited memacu perubahan dan memberi tumpuan terhadap pemerkasaan masyarakat Orang Asli yang sudah lama tertangguh.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata ia bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapatkan pendidikan, latihan dan peluang pekerjaan yang setara dengan majoriti masyarakat di Malaysia.

"Dalam semua aspek, kita tidak boleh menafikan bahawa masyarakat yang agak terpinggir di negara kita adalah masyarakat Orang Asli yang jumlahnya di negara ini mencecah 200,000 orang.

"Berikutan kepesatan pembangunan negara kita, kawasan yang didiami oleh mereka diambil alih dan menyebabkan mereka terpaksa kerap berpindah," katanya dalam kenyataan.

Kula Segaran berkata beberapa inisiatif diambil bagi melaksana tanggungjawab tersebut, misalnya pada 2 Nov tahun lepas, beliau bertemu dengan wakil komuniti Orang Asli yang datang dari sekitar Cameron Highlands, Pahang bagi berbincang mengenai skop utama program pemerkasaan masyarakat itu.

Beliau berkata beberapa kursus kemahiran yang dikenal pasti berpotensi menambah baik status ekonomi masyarakat Orang Asli akan ditawarkan kepada mereka di Institut Latihan Kemahiran Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) yang menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM 1-3), diploma serta kursus jangka pendek.

"Penglibatan mereka terhadap program ini bukan sahaja memperkenalkan mereka dengan kemahiran baharu tetapi mampu meningkatkan kemahiran interaksi bersama pelajar lain," katanya. 

Kula Segaran berkata pada 21 hingga 22 Jan lepas, seramai 78 anak muda Orang Asli dibawa melawat Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Perak untuk diperkenalkan dengan kursus-kursus kemahiran yang ditawarkan di pusat latihan itu.

Jelasnya, beliau akan turut menghadiri satu program khas di Kampung Sungai Ruil, Cameron Highlands, pada 28 Mac ini bagi memantau dan menyelia sendiri perkembangan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang diselaras sendiri oleh 11 anak muda Orang Asli dengan bantuan kakitangan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB). 

Kementerian bersama Stesen Radio Asyik FM juga akan berganding bahu mengadakan program advokasi TVET di Kampung Ringin, Cameron Highlands, pada 24 hingga 26 Jan ini, merangkumi pelbagai aktiviti seperti demonstrasi kemahiran seramik, bengkel asas elektrik, pemasangan paip, dan pengenalan terhadap penggunaan gergaji rantai, katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan