AM

FAMA sasar hasil jualan RM16 juta melalui MyBest Buy tahun ini

24/01/2020 10:06 AM

GEORGE TOWN, 24 Jan -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan jualan RM16 juta bagi Program MyBest Buy (MBB) tahun ini.

Pengerusi FAMA Ishak Ismail berkata pihaknya optimis untuk mencapai sasaran itu berdasarkan rekod jualan pada tahun 2019 mencatatkan jumlah RM14 juta.

“Tidak seperti tahun sebelumnya, MBB kali ini membawa kelainan iaitu mewujudkan gerai MBB pada waktu malam kerana hendak memberi peluang kepada orang ramai yang tidak berkesempatan untuk membeli barangan dapur kerana terikat dengan waktu kerja pada siang hari,” katanya kepada pemberita  selepas majlis pelancaran Program MyBest Buy @ Pasar Pagar Buloh di sini, malam tadi.

Katanya, FAMA sentiasa prihatin akan nasib rakyat yang kebanyakannya terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dengan menawarkan potongan harga sehingga 20 peratus bagi produk agromakanan yang terpilih.

“Bukan itu sahaja, FAMA melalui MBB buat pertama kalinya turut memberi fokus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) yang juga terkesan dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya. 

Dalam pada itu, Ishak berkata menerusi program sedia ada pada tahun ini, FAMA merancang supaya MBB 2.0 difokuskan kepada lokasi institut pengajian tinggi awam dan swasta, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kawasan perumahan serta pejabat kerajaan.

“Untuk tahun ini, FAMA turut menyasarkan sebanyak satu juta pengunjung dengan melibatkan 40 lokasi secara tetap dan bermusim dengan kekerapan operasi sebanyak 1,600 kali di seluruh negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas Azrul Mahathir Aziz dan Pengarah FAMA negeri Habibah Sulaiman.

Ishak berkata pencapaian keseluruhan bagi nilai jualan program MBB dari tahun 2014 sehingga 2019 adalah sebanyak RM72.3 juta dengan melibatkan seramai 2,746 usahawan serta kekerapan operasi sebanyak 7,351 kali.

“Kehadiran pengunjung sepanjang tempoh itu adalah seramai 8.9 juta orang dan dijangka terus meningkat kerana FAMA yakin program MBB sememangnya mendatangkan manfaat yang besar buat pengguna selain turut membantu usahawan tempatan untuk meningkatkan pendapatan mereka sehingga 40 peratus,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan