AM

Kek Abe sado 'cair di mulut, melting di hati'

21/01/2020 12:36 AM

DUNGUN, 20 Jan -- "Kek sedak hok abang bodi katang buat".

Ia antara usikan dalam dialek Terengganu oleh sebilangan besar pelanggan ‘Kekabe’ yang bermaksud ‘kek sedap yang dibuat oleh abang sasa atau sado’ apabila mereka membeli pelbagai jenis kek yang dihasilkan usahawan muda Mohd Azlihaffendi Adenan, 31.

Dengan menggunakan tagline “cair di mulut, melting di hati”, Kekabe yang mempunyai resipi tersendiri untuk disesuaikan dengan citarasa pelbagai lapisan generasi, berjaya mengumpul pelanggan tetap di seluruh negara dan Singapura.

Kekabe menghasilkan 40 jenis kek termasuk berperisa nangka, durian dan mempelam dan antara yang sangat laris adalah kek keju berperisa buah-buahan terutama kek keju mangga 'Paohcis' dan coklat lava berhantu.

Lulusan  Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Wilayah, Universiti Teknologi Malaysia itu tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang bakeri dan usahanya itu muncul daripada minat dan  jiwa untuk menzahirkan seni kreativiti menerusi penghasilan kek.

Ketika ditemui di kedainya itu di sini, Mohd Azlihaffendi yang juga dikenali Abe berkata dia pernah menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang yang sama sehingga 2015, namun tekad berhenti apabila mendapati tidak mempunyai kecenderungan untuk bekerja dalam bidang sama.

Menceritakan permulaan pengibatannya dalam dunia bakeri, katanya pada awalnya dia hanya mencuba membuat brownies kira-kira enam tahun lepas untuk dinikmati bersama rakan-rakan.

"Selepas mendapat resipi daripada seorang rakan, saya terus mencuba sebanyak tujuh kali menggunakan pelbagai teknik dan 'petua' sehingga dapat menghasilkan brownies yang disukai ramai dan sejak itu saya mula mendapat tempahan daripada rakan dan keluarga terdekat.

"Ketika mula berniaga dulu, saya banyak gunakan tangan maklumlah tiada modal nak beli mesin pengadun, sebab tu 'badan katang'," katanya dalam nada berseloroh ketika memulakan perbualan.

Sambutan menggalakkan itu meningkatkan lagi motivasi Abe untuk mempelajari lebih banyak jenis kek bagi memenuhi permintaan pelanggan dengan konsep 'homemade' atau hasil air tangan sendiri sehingga memberanikan diri membuka  kedai pertama BamBam Cake di Temerloh, Pahang  pada 2017 bersama rakan kongsi.

Namun, dia  diuji apabila berlaku kebakaran hampir 100 peratus di BamBam Cake pada 2018 sehingga nyaris memusnahkan semangatnya namun atas sokongan rakan kongsi, kenalan dan penggemar kek, dia bangkit untuk meneruskan perjuangan 'punca rezeki’ di Temerloh.

“Ia adalah ujian paling getir sepanjang saya bergelar usahawan... Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan  tidak lama selepas itu, saya mula fokus untuk pasaran di Terengganu dengan membuka kedai kedua iaitu Kekabe dan sehingga kini perniagaan semakin berkembang dengan penglibatan lebih 22 ejen di seluruh negara," katanya.

Menyedari persaingan sengit dalam bidang itu,  Mohd Azlihaffendi sentiasa mendapatkan pandangan daripada pelanggan dan menjadikan aplikasi YouTube sebagai rujukan utama dalam menambah kemahiran serta membeli peralatan memasak bagi memastikan kek buatannya menarik dan mempunyai kelas tersendiri.

"Kritikan pelanggan juga banyak membantu saya menghasilkan kek yang lebih digemari ramai dan saya sentiasa bersedia untuk menambah baik kualiti produk serta layanan baik di kaunter kedai mahupun di laman sosial Facebook. 

"Malah, saya juga menggunakan perbualan santai dan bersikap 'gila-gila' untuk beramah mesra dan bergurau bagi memenangi hati lebih 14,000 pengikut di Facebook," katanya yang mengakui turut menerima usikan 'nakal' berikutan status dirinya yang masih bujang. 

Biarpun Kekabe baru beroperasi dua bulan, rekod jualannya sangat memberangsangkan iaitu lebih RM10,000 sebulan dan Abe turut memasang impian untuk membuka lebih banyak cawangan terutama di bandar-bandar besar dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Saya ada sertai seminar keusahawanan dan didedahkan dengan pelbagai kemudahan seperti pinjaman dan geran daripada agensi terlibat seperti MARA, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan dan Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia.

"Insya-Allah saya akan cuba mendapatkan bimbingan perniagaan daripada agensi kerajaan berkaitan keusahawanan dan mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar produk saya mampu mengharumkan nama Terengganu di pasaran antarabangsa," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan