BACHOK, 17 Jan -- Menjelang Tahun Baharu Cina, permintaan kuih bakul atau Nian Gao yang merupakan kuih tradisional masyarakat Tionghua tetap mendapat permintaan tinggi malah kesedapan kuih berkenaan juga semakin disukai oleh masyarakat berbilang bangsa di negara ini.
Bagi pengusaha kuih bakul di Kampung Pantai Kemayang, Tawang di sini, keistimewaan kuih bakul lima generasi keluarga Tan Tiaw Pheng, 33, kerana ia dihasilkan melalui kaedah tradisional.
Tan berkata untuk menghasilkan kuih bakul terbaik tempoh pembuatannya mengambil masa lima hari, bermula dengan merendam beras semalaman, mengisar dan mengeringkan beras juga semalaman dan mengukusnya selama lebih 15 jam, sebelum dibiarkan sejuk semalaman lagi.
Tan bersama ibunya, Kam Guat Thee, 65, akan menggunakan pengisar batu untuk mengisar lebih 50 kilogram tepung beras sehingga halus, yang mengambil masa lebih empat jam.
"Alah bisa tegal biasa, telah lima generasi kami menggunakan pengisar batu ini kerana tekstur kuih bakul ini akan lebih terasa berbanding menggunakan mesin pengisar elektrik," katanya ketika ditemui di rumahnya, yang merupakan satu-satunya keluarga Cina di perkampungan nelayan itu.
Tan berkata beras pulut yang telah dikisar halus itu akan dimasukkan ke dalam guni, kemudian ia akan dikepitkan menggunakan kayu daripada batang pokok nibong dan digantung untuk mengeringkannya menjadi tepung.
Tepung beras tersebut kemudiannya akan dicampur gula dan dimasukkan ke dalam satu acuan khas yang dilapik bersama dua atau tiga lapisan daun pisang bagi menghasilkan aroma daun tersebut apabila dikukus dalam kuali besar yang dimasak menggunakan kayu api selama lebih 15 jam.
"Aspek kebersihan antara perkara paling dititikberatkan bermula daripada membersihkan beras pulut sehingga dikukus kerana jika tidak kuih ini tidak sedap.
"Paling penting adalah pantang larang yang perlu dijaga ketika tempoh mengukus dan kami dilarang banyak bercakap bagi mengelak kuih menjadi keras dan tidak masak," katanya.
Kuih bakul yang dihasilkan dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar itu dijual pada harga RM18 sekilogram.
"Pembeli adalah sekitar Bachok ini sahaja dan saya tidak berhasrat untuk mengambil tempahan yang besar kerana ingin menjaga kualiti kuih," katanya dan menambah mereka menghasilkan kira-kira 20 kilogram kuih bakul setiap minggu tetapi menjelang Tahun Baharu Cina permintaan adalah meningkat.
Selain menghasilan kuih bakul, keluarga Tan turut menghasilkan budu, juga menggunakan kaedah tradisional dan sering mendapat permintaan termasuk masyarakat Melayu sekitar.
Bagi jiran keluarga itu, Rosliza Hassan, 47, berkata penduduk sekeliling suka membantu keluarga itu malah mereka turut berkongsi resipi makanan tradisional Melayu dan Cina.
"Kami datang menolong seperti buat kuih bakul dan budu ini terutama dalam musim perayaan kerana dengan cara inilah kami berkawan baik sesama kaum,” katanya.
Beliau berkata kuih bakul sangat sedap dimakan dengan cara menggorengnya atau digaul dengan kelapa terutama ketika ia masih panas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial