EKONOMI

Projek pembinaan jalan baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek dijangka siap Jun 2022

15/01/2020 10:00 PM

NILAI, 15 Jan -- Projek pembinaan jalan baharu Nilai-Labu ke Bandar Enstek, yang merupakan sebahagian daripada projek Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0), dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata projek sepanjang 16.3 kilometer, dimulakan sejak Julai 2017 serta menelan belanja kira-kira RM100 juta, turut dilihat sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan dalam merangsangkan ekonomi negeri.

Ketika ini, kemajuan pembinaan projek berkenaan telah mencapai 40 peratus, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Parcel B MVV 2.0, di sini, hari ini.

“Projek ini adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan pusat serta kerajaan negeri menerusi pembangunan MVV 2.0 untuk melonjakkan lagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang lebih pesat di Negeri Sembilan," katanya.

Mohamad Rafie berkata pihaknya juga bercadang untuk memanjangkan laluan tersebut dari persimpangan kilang Kellogg's ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), iaitu sejauh lapan kilometer.

"Kita akan membuat perbincangan bersama kerajaan persekutuan untuk kita memanjangkan lagi laluan tersebut," katanya.

"Pada masa ini kita memberi tumpuan kepada Parcel A iaitu di kawasan Nilai meliputi ladang Hamilton, New Labu, Labu dan Kirby. Pemaju utama MVV 2.0 sedang menyiapkan Pelan Reka Letak Induk untuk dikemukakan (dalam permohonan) kebenaran merancang projek.

"Menjadi harapan kita agar kerja-kerja tanah projek (Parcel A) ini dapat dimulakan pada suku ketiga tahun ini, kerajaan juga mengalu-alukan pelabur untuk melabur di kawasan MVV 2.0 dan bersedia berbincang bagi menjayakannya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan