PELABUHAN KLANG, 15 Jan -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan cubaan menyeludup rokok putih dianggarkan bernilai RM1.53 juta dalam dua serbuan berasingan di Pelabuhan Utara di sini, baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota penguatkuasa JKDM pada 7 Januari dan Isnin lepas.
Katanya dalam serbuan itu pihaknya menemui sebuah kontena bersaiz mencurigakan yang diikrar membawa muatan aksesori telefon.
“Hasil pemeriksaan menemukan 9.5 juta batang rokok putih bernilai RM760,000, membabitkan duti kastam berjumlah RM6.1 juta di dalam kontena terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata susulan itu, pihaknya menyerbu sebuah lagi kontena mencurigakan di lokasi sama yang turut diisytihar membawa barangan seperti aksesori telefon dan kasut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut turut membawa 9.65 juta batang rokok putih bernilai RM772,000, membabitkan nilai cukai kira-kira RM6.4 juta.
"Semakan mendapati kesemua rokok yang merupakan barang dagang larangan tersebut cuba diseludup masuk ke Malaysia menerusi pelabuhan ini dari China.
"Hasil kedua-dua serbuan itu juga, kita turut menahan dua ejen Kastam dipercayai daripada syarikat yang sama berusia lingkungan 50an untuk membantu siasatan," katanya.
Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74 (1)(e) Akta Eksais 1967.
Sementara itu dalam kes berasingan, JKDM Selangor merampas dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Fortuner yang dipercayai untuk dieksport ke Jepun di Pelabuhan Barat pada 4 Disember lepas.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengikrar barang dagangan dibawa kontena itu sebagai ‘Secondary Welded Pipe’ dalam borang eksport Kastam bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kedua-dua kenderaan ini dianggarkan berjumlah RM300,000 dan kita masih mengesan pengeksport dan ejen yang terlibat," katanya dan menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 133 (1)(a) Akta Kastam 1967.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial